Hutang 1MDB: Rakyat Berhak Mendapatkan Cerita Lengkap Bukan Kaburi Fakta

Melaka Digest
By -
0

“Negara masih berhadapan tekanan hutang 1MDB” kedengaran dramatik tetapi ia tidak menggambarkan keseluruhan gambaran kewangan negara.


Realitinya, Malaysia bukan sekadar membayar hutang tetapi negara juga telah menerima pulangan besar hasil pemulihan aset, penyelesaian undang-undang antarabangsa dan pengembalian dana yang diselewengkan. Semua pulangan tersebut dikumpulkan secara telus dalam Akaun Pemulihan Aset untuk manfaat rakyat.

Naratif bahawa negara masih “terseksa” atau “terhimpit” tanpa menceritakan bahagian pemulihan aset adalah versi cerita yang tidak lengkap. Ekonomi tidak boleh dilihat hanya pada satu sisi hutang tanpa menilai nilai aset, pulangan dan manfaat jangka panjang yang sedang berkembang.

Anwar perlu perjelaskan bahawa hutang pokok telah dan sedang diselesaikan melalui ‘Dana Pemulihan’ dan kerajaan telah melangsaikan sebahagian besar hutang pokok 1MDB, termasuk bon bernilai berbilion ringgit menggunakan dana tersebut iaitu penyelesaian dengan Goldman Sachs, pemulangan aset oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dan bayaran balik firma profesional dan pihak berkaitan.

Ini bermakna pembayaran tersebut bukan semata-mata ditanggung poket rakyat tetapi melalui dana pemulihan yang diwujudkan khas.

Tidak boleh dinafikan, daripada kekal sebagai masalah, 1MDB meninggalkan satu aset strategik yang kini menjadi nadi ekonomi baharu Kuala Lumpur iaitu Tun Razak Exchange (TRX) dengan GDV dianggarkan melebihi RM40 bilion. Aset strategik ini berjaya menarik syarikat gergasi antarabangsa seperti HSBC, Prudential, Affin Bank, serta pelabur global manakala The Exchange TRX pula memacu pelancongan, runcit premium dan cukai korporat.

TRX bukan sekadar berjaya tetapi ia sedang berkembang sebagai ‘aset paling bernilai dan paling menguntungkan’ yang akan menjana pendapatan jangka panjang untuk negara.

Secara asasnya, apabila nilai aset seperti TRX dan Bandar Malaysia dicampur bersama dana pemulihan yang diterima kerajaan, baki liabiliti menjadi jauh lebih kecil daripada naratif sensasi yang diceritakan oleh Anwar di dalam parlimen.

Apa yang Anwar tidak ceritakan adalah negara memperoleh Hab kewangan antarabangsa yang meningkatkan reputasi Malaysia, aliran cukai korporat baharu dan peluang pekerjaan bernilai tinggi dengan kata lain ekonomi negara mendapat manfaat yang nyata dan berterusan, bukan sekadar angka di atas kertas.

Sebelum isu 1MDB dipolitikkan, rakyat telah menikmati manfaat pembangunan nasional yang ketara melalui Khazanah di mana aset naik 4 kali ganda (RM32b → RM116b), rizab tunai Petronas meningkat lebih dua kali ganda (RM80b → RM174b), nilai aset KWAN naik hampir 4 kali ganda tanpa sebarang pengeluaran, aset KWAP naik 3 kali ganda (RM52b → RM140.8b) malah Petronas & TNB dapat menjimatkan RM190–210 bilion akibat rundingan semula IPP berat sebelah pada 2012.

Ini adalah fakta ekonomi yang memberi impak terus kepada kekuatan fiskal negara.

Anwar juga patut ‘bercerita’ tentang manfaat sosial yang tidak boleh disangka di mana ianya berada di luar angka dan laporan kewangan iaitu beribu rakyat Malaysia berpeluang menunaikan Haji melalui Yayasan 1MDB juga nelayan, petani dan komuniti luar bandar menerima bantuan termasuk bot baharu dan program peningkatan pendapatan.

Ia adalah bukti bahawa 1MDB juga memberi kesan sosial yang positif sebelum salah urus dikesan.

Memang wujud penyelewengan dan salah urus oleh individu tertentu seperti Jho Low. Namun setelah pendedahan dibuat oleh Kerajaan Malaysia, agensi penguat kuasa antarabangsa dan mahkamah luar negara telah menjalankan proses pemulihan agresif sehingga berjaya mendapatkan kembali berbilion ringgit aset negara yang hilang.

Hutang tidak dipadamkan begitu sahaja tetapi diperjelaskan dengan pemulihan dan aset sebenar, bukan kosong seperti dakwaan musuh politik.

Dalam dunia kewangan, hutang bukan masalah jika ia disokong oleh aset yang berkembang. 1MDB bukan cerita tunggal tentang hutang tetapi ia juga cerita tentang pemulihan, aset mega, pembangunan jangka panjang dan keupayaan negara memulihkan kerosakan.

Membawa naratif separuh masak seperti yang berlaku sekarang hanya menakut-nakutkan rakyat. Jika mahu bercakap tentang liabiliti, bercakaplah juga tentang nilai aset, pemulihan wang, rekod pembayaran, dan manfaat ekonomi baharu.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)