Sabah Perlu Berhati-Hati Dengan Eksperimen Politik PAS

Melaka Digest
By -
0

Pendekatan politik PAS di Sabah menimbulkan persoalan asas tentang identiti, ketegasan prinsip dan kemampuan parti itu memahami realiti unik negeri berbilang etnik ini. Dari gaya kempen sehinggalah ke pendekatan dasar, corak yang muncul bukan sekadar berbeza tetapi memperlihatkan ketidakkonsistenan yang boleh membawa implikasi besar kepada masa depan politik dan pembangunan Sabah.


Antara perkara yang paling ketara ialah perubahan identiti bergantung kepada negeri yang ditandingi. PAS begitu bangga dengan logo bulan ketika berada di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, namun logo itu ghaib apabila tiba di Sabah. Mereka memilih untuk bersembunyi di sebalik logo Perikatan Nasional, seolah-olah mengakui bahawa identiti asal mereka tidak mampu diterima pengundi Sabah. Jika identiti pun berubah mengikut lokasi, bagaimana pula dengan prinsip yang kononnya diperjuangkan?

Pendekatan dasar PAS di Sabah juga tidak selari dengan realiti sosial negeri yang penuh kepelbagaian. Contohnya ketika berdepan isu arak dan judi, parti itu kelihatan keliru antara prinsip dan strategi.

Apa yang selama ini dibawa sebagai pendirian tegas di Semenanjung tiba-tiba mengendur apabila berdepan budaya dan kehidupan masyarakat Sabah sedangkan di Semenanjung juga terdapat kepelbagaian bangsa dan fahaman agama. Kekaburan pendirian ini mengundang persoalan tentang versi Islam yang cuba dibawa PAS ke negeri ini, kerana prinsip sepatutnya tidak berubah mengikut kepentingan politik.

Lebih membimbangkan, rekod pentadbiran PAS di negeri-negeri yang mereka kuasai bukanlah contoh kemajuan yang boleh dibanggakan. Kelantan dan Terengganu berada jauh di belakang dari segi pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan pertumbuhan industri. Banyak sektor kekal statik, malah ada yang merosot.

Jika pengalaman sebenar pentadbiran mereka dijadikan ukuran, jelas bahawa PAS masih belum menunjukkan kapasiti membangunkan negeri dengan berkesan. Maka tidak hairan apabila ramai mempersoalkan bagaimana parti itu mampu menawarkan masa depan yang lebih baik kepada Sabah.

Dalam konteks pembangunan Karambunai, persoalan yang timbul semakin ketara. Jika model pembangunan yang dijanjikan PAS berpandukan negeri-negeri tadbiran mereka, maka Karambunai berisiko mundur dan ketinggalan. Sabah memerlukan hala tuju pembangunan yang inklusif, moden dan berasaskan data, bukannya slogan atau model ekonomi yang tidak terbukti keberkesanannya. Rakyat mengambil kira prestasi sebenar, bukan sekadar retorik.

Sebagai parti yang ingin mengukuhkan kedudukan di Sabah, PAS perlu terlebih dahulu menjawab persoalan asas iaitu siapakah mereka sebenarnya di Sabah, apakah prinsip yang ingin mereka kekalkan dan negeri manakah yang menjadi rujukan model pembangunan mereka?

Selagi persoalan ini tidak dijawab dengan jelas dan jujur, rakyat Sabah bukan sahaja berhak berasa ragu-ragu, malah wajib berhati-hati. Sabah terlalu penting untuk diserahkan kepada eksperimen politik yang tidak mempunyai asas kestabilan, rekod kemajuan atau konsistensi perjuangan.
 
Tiba-tiba keluar kenyataan, "Kemenangan kita adalah tuaian dari usaha orang terdahulu.."

Mana pergi hasil usaha bersama PN di Sabah?

Nama Perikatan Nasional hilang dari faktor kejayaan ini? 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)