Ketegangan politik antara UMNO dan DAP terus memuncak apabila pimpinan kedua-dua parti berbalas kenyataan secara terbuka, menjadikan media sosial sebagai medan sindiran yang semakin tajam. Episod terbaharu ini bukan sekadar pertukaran kata tetapi cerminan hubungan rapuh antara dua tonggak utama dalam kerajaan perpaduan.
Percikan terbaharu tercetus apabila Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, membidas kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang seolah-olah meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah. Dalam satu hantaran Facebook bernada sinis, Mohamad menyatakan beliau juga menunggu masa untuk ‘meraikan’ keputusan mahkamah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang membabitkan Penasihat DAP, Lim Guan Eng.
“Saya pun tunggu untuk raikan apabila mahkamah merasmikan (memutuskan) terowong Pulau Pinang. Mungkin pertengahan tahun 2026,” sindir beliau, satu kenyataan yang jelas menyasarkan sensitiviti dalaman DAP.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada hantaran Yeo Bee Yin yang berbunyi, “Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini,” sejurus mahkamah mengetepikan permohonan Najib pada Isnin. Hantaran tersebut segera mencetuskan kritikan, khususnya daripada UMNO yang melihatnya sebagai tidak sensitif dan berunsur provokatif dalam konteks kerjasama politik semasa.
Lim Guan Eng tampil membalas sindiran Mohamad Hasan dengan mempersoalkan bagaimana sebuah terowong boleh “dirasmikan” sedangkan menurutnya, satu sen pun tidak pernah dibayar. “Hanya Mat Jenin boleh dapat terowong percuma,” balas Guan Eng, satu kenyataan yang menyindir kembali naratif UMNO terhadap kes tersebut.
Mahkamah Tinggi sebelum itu memutuskan untuk menolak permohonan Najib Razak, 72, bagi memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah. Hakim Alice Loke Yee Ching menegaskan bahawa mekanisme tahanan rumah tidak mempunyai peruntukan undang-undang di Malaysia, sekali gus menjadikan permohonan tersebut tidak boleh dilaksanakan.
Mahkamah juga menegaskan bahawa ia tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah mandamus bagi memaksa responden mematuhi permohonan tersebut. Dalam penghakimannya, hakim menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan melaksanakan kuasa dan prerogatif ihsan dalam kerangka perlembagaan serta tertakluk kepada kawalan dan had undang-undang yang jelas.
Dalam masa yang sama, Lim Guan Eng, 63, masih berdepan pertuduhan rasuah melibatkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. Bekas Menteri Kewangan itu turut didakwa atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik mengurus projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong di negeri tersebut, satu realiti yang terus membayangi setiap sindiran politik yang dilemparkan.
Tony Pua pula secara terbuka melabel penyokong UMNO sebagai “pencinta seorang penyangak”, selain menegaskan peranan DAP dalam memastikan Najib Razak dipenjarakan. Kenyataan tersebut bukan sahaja bernada provokatif, malah dianggap melampaui batas kesopanan politik, khususnya dalam konteks parti-parti yang kini berkongsi pentadbiran negara. Baca di SINI.


