Kenyataan DAP Melaka yang mempertikai arahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berhubung larangan hiasan Krismas di hotel dan premis makanan bersijil halal perlu dilihat secara lebih matang, berlapik dan berasaskan kefahaman sebenar terhadap fungsi pihak berkuasa agama Islam di negara ini.
Pertama, adalah penting untuk ditegaskan bahawa JAIM bukan bertindak sewenang-wenangnya atau bersifat diskriminasi, sebaliknya melaksanakan amanah undang-undang dan peranan institusi agama Islam negeri dalam menjaga kesucian akidah umat Islam, khususnya berkaitan pensijilan halal. Pensijilan halal bukan sekadar isu bahan makanan tetapi merangkumi keseluruhan persepsi, persekitaran dan elemen yang boleh dikaitkan dengan pengiktirafan agama Islam.
Pengklasifikasian Krismas sebagai perayaan keagamaan bukanlah naratif baharu atau ciptaan mana-mana pihak. Ia adalah hakikat teologi yang diiktiraf secara global. Justeru, kebimbangan JAIM terhadap potensi kekeliruan akidah terutamanya apabila simbol atau hiasan perayaan keagamaan lain dipamerkan dalam premis yang menggunakan sijil halal adalah berasas dari sudut hukum dan tadbir urus agama.
Kedua, hujah bahawa arahan ini kononnya menjejaskan imej pelancongan Melaka adalah terlalu simplistik dan tidak disokong bukti kukuh. Realitinya, pelancong ke Melaka terdiri daripada pelbagai segmen, termasuk pelancong Muslim domestik dan antarabangsa yang amat menitikberatkan aspek halal dan sensitiviti agama. Menjaga integriti pensijilan halal sebenarnya memperkukuh keyakinan segmen ini, bukan melemahkannya.
Malaysia sebagai negara majmuk tidak pernah bermaksud semua perkara mesti dicampur-adukkan tanpa batas. Prinsip keharmonian sebenar terletak pada saling menghormati ruang, peranan dan garis panduan setiap agama.
Umat bukan Islam bebas meraikan Krismas di gereja, rumah ibadat, kediaman persendirian dan premis yang tidak bergantung kepada pensijilan halal. Pada masa yang sama umat Islam berhak memastikan ruang yang membawa identiti halal ini adalah bagi mengelakkan kekeliruan dengan simbol keagamaan lain.
Ketiga, perbandingan yang dibuat oleh DAP Melaka dengan keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung ucapan “Merry Christmas” pada kek juga perlu diletakkan dalam konteks yang tepat.
Garis panduan JAKIM tersebut bersifat terhad, bersyarat dan tertakluk kepada tujuan tempahan serta sasaran pengguna, bukannya kebenaran umum tanpa kawalan. Menggunakan pengecualian bersyarat untuk menekan pihak berkuasa agama negeri agar melonggarkan prinsip asas adalah satu bentuk manipulasi naratif yang tidak bertanggungjawab.
Dalam isu ini, yang lebih membimbangkan bukanlah arahan JAIM tetapi kecenderungan sesetengah pihak untuk menjadikan sensitiviti agama sebagai modal politik, seolah-olah mempertahankan garis panduan Islam bermaksud menolak kepelbagaian.
Hakikatnya, kestabilan negara majmuk hanya dapat dipertahankan apabila semua pihak menghormati batas yang ditetapkan oleh perlembagaan, undang-undang negeri dan peranan institusi agama.
JAIM wajar dipertahankan dalam melaksanakan tanggungjawabnya secara berprinsip dan konsisten. Dialog boleh diteruskan, penjelasan boleh diperhalusi, namun tekanan politik tidak seharusnya digunakan untuk menghakis asas pengurusan halal dan sensitiviti akidah umat Islam. Inilah harga sebenar keharmonian, bukan dengan mengaburkan garis tetapi dengan menghormati peranan masing-masing.
