Juara Ponteng, Tidak Cakna Rakyat Kawasan, Tidak Tahu Ada Sawah Di Melaka: ADUN PAS?

Melaka Digest
By -
0

Tindakan seorang wakil rakyat PAS di Melaka memperlekehkan keluasan sawah padi negeri dengan menggunakan istilah “se-coit” bukan sahaja menunjukkan kekeliruan fakta, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab dalam menggambarkan keadaan sebenar sektor pertanian negeri.


Dalam ceramah politiknya, ADUN tersebut mendakwa tanah sawah di Melaka hanyalah “se-coit yang tinggal, itu pun tempat mandi kerbau”, seolah-olah menafikan sepenuhnya usaha kerajaan negeri membangunkan industri padi tempatan.

Hakikatnya, penjelasan di Dewan Undangan Negeri oleh EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, YB Dr. Akmal semalam menafikan dakwaan tersebut.


Menurut Dr Akmal yang juga ADUN Merlimau bahawa Melaka mempunyai 1,590.36 hektar tanah sawah yang masih aktif, jauh berbeza daripada gambaran dangkal yang cuba disebarkan. Lebih memalukan, Dr. Akmal turut menjelaskan bahawa Melaka berjaya menjual sebanyak 12,000 kampit Beras Melaka dalam tempoh setahun, satu angka yang jelas membuktikan kewujudan dan keupayaan sektor pertanian negeri.


Inisiatif Projek Beras Melaka pula menjadi bukti paling kukuh bahawa kerajaan negeri komited memperkukuh keselamatan makanan melalui model pengeluaran beras buatan Melaka sendiri dengan mengawal seluruh rantaian daripada penanaman varieti MR297, penuaian, pembungkusan, hinggalah ke pengedaran.

Melaka membina sistem pengeluaran yang telus, stabil dan bebas daripada manipulasi kartel. Penuaian pertama di kawasan lebih 46 hektar di Merlimau menunjukkan keberhasilan kerja perataan tanah serta pemulihan saliran sejak 2024, seterusnya menghasilkan 4,000 kampit Beras Melaka 10 kilogram yang dipasarkan pada harga mampu milik RM26 melalui FAMA, pasar tani dan AgroBazaar. Ini kemudiannya berkembang kepada ribuan kampit tambahan dalam fasa seterusnya.

Kehadiran Beras Melaka bukan sekadar menambah pilihan di pasaran tetapi mengangkat martabat petani tempatan melalui hasil yang ditanam, dituai dan diproses sepenuhnya oleh anak negeri. Kerajaan negeri turut memastikan produk ini disalurkan khusus kepada warganegara bagi mengelakkan ketirisan dan menjamin manfaatnya sampai kepada kelompok yang benar-benar memerlukan dan dengan fokus jangka panjang untuk meningkatkan tahap swasembada dan memacu keberdayaan petani, Beras Melaka kini menjadi simbol bagaimana sebuah negeri kecil mampu menghasilkan impak besar melalui dasar terancang dan pelaksanaan penuh disiplin.


Dalam konteks ini, kenyataan ADUN PAS Rembia bukan sahaja tidak berasas, malah memperlihatkan kegagalannya memahami data asas negeri yang diwakilinya. Lebih membimbangkan, beliau turut dikaitkan dengan rekod buruk di negeri sendiri termasuk lebih 400 aduan rakyat Rembia yang tidak diambil tindakan sehingga kerajaan negeri terpaksa campurtangan serta kehadiran yang lemah dalam sidang DUN.


Seorang wakil rakyat seharusnya menjadi penyampai maklumat tepat, bukan penyebar gambaran palsu yang menjejaskan imej negeri sendiri. Melaka sedang melangkah ke depan dengan kerja nyata, bukan retorik kosong.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)