Konvensyen 153: Antara Simbol, Fakta dan Episod Yang Hampir Mengubah Sejarah

Melaka Digest
By -
0

Sabtu lalu, Konvensyen Melayu 153 berlangsung sebagai sebuah platform yang menghimpunkan bekas pemimpin negara, aktivis serta pemikir Melayu bagi membincangkan hala tuju dan masa depan bangsa. Sebagai seorang Melayu, usaha sebegini wajar disokong kerana ia menyentuh asas kelangsungan politik, ekonomi dan sosial orang Melayu dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.


Tun Dr. Mahathir Mohamad dijemput sebagai tokoh negarawan untuk menyampaikan ucapan utama. Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan mempertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, peruntukan yang menjadi tiang seri perlindungan hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Konvensyen itu turut menampilkan satu simbol yang mencuri perhatian iaitu sebuah keranda, lazimnya digunakan dalam adat pengebumian Melayu. Walaupun mungkin sekadar gimik, simbol tersebut membawa mesej yang jelas dan keras, jika Perkara 153 gagal dipertahankan, maka bangsa Melayu sendiri seolah-olah sedang mengiringi masa depannya ke liang lahad.

Dari sudut perundangan, Perkara 153 bukan isu kecil atau simbolik semata-mata. Menurut pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Abdul Aziz, peruntukan ini memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, termasuk dalam perkhidmatan awam, pendidikan, biasiswa serta penyertaan ekonomi. Ia adalah mekanisme imbangan yang diinstitusikan dalam kontrak sosial negara.

Persoalannya, pernahkah Perkara 153 benar-benar berada dalam keadaan terancam?

Jawapannya membawa kita kembali ke tahun 2018. Selepas kejatuhan UMNO, tonggak utama kuasa politik Melayu dalam PRU14, kerajaan baharu ketika itu bercadang untuk meratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD).

ICERD secara asasnya menuntut penghapusan semua bentuk perbezaan berasaskan kaum tanpa pengecualian. Dalam konteks Malaysia, prinsip ini membuka ruang besar untuk mencabar dasar afirmatif seperti Perkara 153. Kuota Melayu dalam perkhidmatan awam, biasiswa, pendidikan dan dasar ekonomi Bumiputera berpotensi dilabel sebagai diskriminasi kaum dan dicabar secara sah.

Lebih membimbangkan, ratifikasi ICERD bukan sekadar komitmen moral, tetapi mengikat kerajaan untuk meminda undang-undang dan dasar sedia ada agar selari dengan konvensyen tersebut. Tekanan antarabangsa akan berterusan dan dalam jangka panjang, perlindungan khas Melayu boleh dineutralkan secara berperingkat termasuk menghakis kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mempertahankan hak tersebut.

Ketika itu, bantahan besar dan konsisten muncul daripada NGO-NGO Melayu, disokong UMNO dan PAS. Forum awam, wacana ilmiah dan sesi penerangan diadakan secara meluas bagi menjelaskan implikasi ICERD terhadap masa depan Melayu dan Islam.

Allahyarham Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan memberi amaran bahawa ICERD boleh menjadi alat jangka panjang untuk mencabar kedudukan Islam dan Melayu walaupun ia bermula dengan jaminan politik. Allahyarham Prof. Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling pula menegaskan bahawa ICERD gagal mengiktiraf hak pribumi (indigenous rights) orang Melayu.

Namun begitu, pada peringkat awal, tiada isyarat jelas bahawa kerajaan ketika itu bersedia untuk menarik balik hasrat meratifikasi ICERD. Menteri-menteri Melayu dalam kabinet lebih banyak memilih untuk berdiam diri. Lebih mengundang persoalan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Waytha Moorthy, tampil memberi jaminan bahawa ratifikasi ICERD tidak akan menjejaskan Perkara 153, satu jaminan yang sukar diyakini, mengambil kira rekod dan pendirian beliau sebelum itu.

Ketidaktentuan inilah yang akhirnya mencetuskan kemuncak penentangan. Pada 8 Disember 2018, UMNO, PAS dan NGO-NGO Melayu sepakat menganjurkan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur. Ratusan ribu orang Melayu turun ke jalanan, menjadikan himpunan tersebut antara tekanan politik paling besar dalam sejarah pasca-PRU14.

Tekanan rakyat itulah yang akhirnya memaksa kerajaan membatalkan hasrat untuk meratifikasi ICERD.

Tanpa bantahan besar-besaran tersebut, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Perkara 153 mungkin kini hanya tinggal catatan sejarah dan simbol keranda itu mungkin bukan lagi sekadar gimik tetapi realiti.

Ironinya, Perdana Menteri pada ketika itu adalah Tun Dr. Mahathir sendiri. Dalam kabinet yang sama, terdapat beberapa menteri Melayu yang memilih untuk berdiam diri tetapi hari ini tampil lantang berbicara soal mempertahankan hak istimewa Melayu melalui wadah politik baharu.

Penulisan ini mungkin menimbulkan rasa tidak selesa, khususnya dalam kalangan pengagum Mahathir. Namun fakta tetaplah fakta. Menilai sejarah secara jujur bukan bermaksud menafikan jasa tetapi menuntut kejujuran intelektual agar kita tidak mengulang kesilapan yang sama.

Perkara 153 hampir tergelincir daripada landasannya dan episod itu wajar diingati, bukan untuk membakar sentimen, tetapi sebagai peringatan bahawa kelangsungan sesuatu hak tidak dijamin oleh nama besar, sebaliknya oleh kesedaran dan keberanian rakyat mempertahankannya.

JAngan lupa dan buat-buat lupa kisah himpunan baju putih itu.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)