Ucapan Aliakbar Gulasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang sarat dengan rujukan kepada perjalanan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat wajar dinilai dengan lebih kritis dan berfakta.
Menjadikan sirah Rasulullah sebagai hujah politik menuntut tahap kejujuran, kerendahan diri dan konsistensi prinsip yang tinggi. Tanpa itu, ia hanya berakhir sebagai retorik moral yang tidak seiring dengan realiti amalan politik.
Jika Aliakbar benar-benar ikhlas mahu mencontohi kepimpinan Nabi SAW, persoalan pertama yang perlu dijawab ialah rekod pemerintahan PAS sendiri. Selepas lebih 40 tahun memegang amanah mentadbir Kelantan, apakah model kejayaan yang boleh dijadikan rujukan oleh Sabah, khususnya kawasan seperti DUN Karambunai?
Hakikatnya, pelbagai indikator sosioekonomi menunjukkan Kelantan masih berada dalam kelompok tercorot berbanding negeri-negeri yang ditadbir Barisan Nasional, baik dari segi pelaburan, peluang pekerjaan mahupun pembangunan infrastruktur asas. Realiti ini tidak boleh diselindungkan dengan pidato beremosi atau simbol keagamaan.
Aliakbar juga tidak wajar beretorik seolah-olah PAS merupakan model terbaik untuk Karambunai, sambil menonjolkan “kealiman” peribadi di dalam dewan. Sebaliknya, beliau perlu berlaku jujur dengan menjelaskan kepada rakyat Sabah, antara pentadbiran PAS di Terengganu, Kedah dan Perlis, yang manakah benar-benar boleh dijadikan contoh terbaik untuk diteladani? Soalan ini menuntut jawapan berasaskan data dan prestasi, bukan slogan atau sentimen agama.
Isu kedua yang lebih sensitif ialah penggunaan mimbar Jumaat sebagai saluran mesej politik. Mengaitkan kepimpinan dan sokongan politik melalui mimbar agama bukan sahaja tidak adil kepada pemimpin Islam lain, malah menimbulkan persoalan etika dan keikhlasan. Baca di SINI.
Apakah ini satu bentuk kempen politik halus yang berselindung di sebalik kesucian institusi masjid? Jika benar, ia jelas bercanggah dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan yang ditekankan dalam Islam.
Lebih membimbangkan, tindakan Aliakbar yang dilihat melanggar keputusan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yasin, menimbulkan persoalan besar tentang konsistensi prinsip. Keputusan agar beliau berada di blok pembangkang adalah jelas. Mengingkari keputusan tersebut bukan sekadar isu disiplin politik tetapi juga soal integriti dan amanah, nilai yang sering dilaungkan atas nama Islam. Persoalan yang timbul, adakah tindakan ini didorong oleh kebimbangan kehilangan peruntukan atau bajet sebagai wakil rakyat kerajaan negeri?
Dalam masa yang sama, Aliakbar juga wajar tampil jujur kepada rakyat. Adakah beliau masih menerima elaun daripada jawatan sebagai Pengerusi anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu? Ketelusan dalam hal ini amat penting kerana ia menyentuh soal konflik kepentingan dan moral kepimpinan, terutama apabila seseorang pemimpin sering mengangkat dirinya sebagai pejuang prinsip dan nilai Islam. Baca di SINI.
Akhirnya, persoalan paling asas perlu dijawab secara terbuka, ke arah mana sebenarnya perjuangan Aliakbar Gulasan? Jika perjuangan itu benar-benar berpaksikan Islam, maka ia mesti diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten, berprinsip dan berintegriti, bukan sekadar retorik agama yang lantang di dewan atau mimbar.
Rakyat Sabah berhak menilai pemimpin bukan berdasarkan kata-kata indah tetapi melalui kejujuran, rekod prestasi dan kesediaan memegang amanah tanpa kompromi.
