Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk menggugurkan Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, berkuat kuasa serta-merta. Jawatan tersebut kini disandang oleh timbalannya, Adam Adli Abd Halim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Keputusan berkenaan dibuat oleh Biro Politik PKR dan diumumkan oleh Setiausaha Agung parti, Fuziah Salleh, pagi ini. Pengumuman itu dibuat selepas Shamsul didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan rasuah.
Menurut Fuziah, walaupun digugurkan daripada jawatan peringkat negeri, Shamsul masih mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya.
Pada 4 Disember lalu, Shamsul mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM176,830 daripada seorang ahli perniagaan, Albert Tei.
Pertuduhan tersebut berkait dengan dakwaan penerimaan wang suapan ketika beliau berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Perdana Menteri bagi membantu syarikat milik Tei mendapatkan lesen perlombongan mineral di Sabah.
Dalam kes sama, Albert Tei turut didakwa atas pertuduhan menawarkan rasuah tersebut.
Dalam kes sama, Albert Tei turut didakwa atas pertuduhan menawarkan rasuah tersebut.
