Peletakan jawatan dalam Perikatan Nasional (PN) semalam bergerak pantas, menyerupai kesan domino yang menggoncang struktur kepimpinan gabungan itu. Susulan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, beberapa tokoh utama dari blok BERSATU di peringkat negeri tampil mengumumkan pengunduran masing-masing, satu isyarat jelas bahawa krisis kepimpinan PN nampak sukar untuk dipulihkan.
Antara yang dilaporkan meletakkan jawatan ialah Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Menariknya, hampir kesemua tokoh ini dikenali sebagai penyokong tegar Muhyiddin, malah sebahagian mereka dianggap “orang kanan” yang membina dan mempertahankan pengaruh beliau sejak awal penubuhan PN.
Kebiasaannya, jawatan Pengerusi PN negeri bukanlah posisi kecil. Ia disandang oleh individu yang paling dipercayai oleh Pengerusi parti, berfungsi sebagai benteng politik, penghubung jentera dan penjaga kestabilan dalaman. Justeru, apabila mereka yang setia memilih untuk berundur serentak, mesejnya jelas, mereka masih setia kepada Muhyiddin.
Namun di sebalik rentetan pengunduran ini, satu persoalan besar mula berlegar bagaimana pula dengan Melaka?
Nama Mas Ermieyati Samsudin, Pengerusi PN Melaka menjadi tumpuan. Sehingga kini, beliau tidak mengumumkan peletakan jawatan, berbeza dengan rakan-rakan sebarisan yang lain. Sikap berdiam diri ini mengundang tafsiran politik yang semakin hangat diperdebatkan.
Mas Ermieyati selama ini dikenali sebagai figura penting dalam ekosistem BERSATU kerana beliau juga adalah Ketua Wanita BERSATU pusat. Namun, persoalan yang timbul ialah adakah beliau benar-benar orang kuat Muhyiddin atau kini lebih cenderung kepada kem Hamzah Zainuddin? Dalam politik dalaman BERSATU, peralihan kesetiaan bukan lagi rahsia.
Lebih signifikan, keputusan untuk kekal atau berundur bukan sekadar soal jawatan. Ia mencerminkan pendirian terhadap arah tuju PN, siapa yang bakal menguasai naratif dan bagaimana kuasa akan diagihkan pasca-Muhyiddin. Jika Mas Ermieyati memilih untuk kekal, ia boleh dibaca sebagai isyarat bahawa Melaka menjadi medan awal penyusunan semula kuasa atau lebih keras tanda peralihan sokongan yang disengajakan.
Mungkinkah Mas Ermieyati bakal tinggalkan BERSATU?
