Kedudukan Mas Ermieyati Samsudin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka terus menjadi perhatian apabila sehingga kini tiada sebarang kenyataan sokongan terbuka dikeluarkan oleh PAS Melaka berhubung kelangsungan beliau dalam jawatan tersebut, meskipun gelombang peletakan jawatan melanda kepimpinan tertinggi PN di peringkat negeri dan pusat.
Dalam satu hantaran di Facebook rasmi miliknya kelmarin, Mas Ermieyati tampil mempertahankan pendiriannya dengan menegaskan bahawa hubungan antara kepimpinan PN Melaka, khususnya bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka yang juga ahli parlimen Jasin, Hj. Zulkifli Ismail berada dalam keadaan baik, harmoni dan saling mempercayai sama ada sebelum, semasa mahupun selepas krisis politik di Perlis.
“Tiada sebarang konflik dalaman yang menuntut peletakan jawatan saya secara tergesa-gesa,” tegas beliau.
Kenyataan itu dilihat sebagai respon langsung kepada tekanan dan pertanyaan pelbagai pihak yang mempersoalkan keengganan Mas Ermieyati untuk berundur, khususnya apabila beberapa tokoh utama PN telah mengambil langkah sedemikian sebagai isyarat pertanggungjawaban politik.
Antara pemimpin yang telah meletakkan jawatan ialah Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Menariknya, hampir kesemua tokoh ini dikenali sebagai penyokong kuat Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus menimbulkan tafsiran bahawa langkah berundur tersebut mempunyai mesej politik yang tersendiri.
Dalam konteks itu, pendirian Mas Ermieyati untuk terus kekal di jawatan Pengerusi PN Melaka mencetuskan persoalan baharu adakah beliau kini dilihat lebih cenderung kepada kepimpinan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, khususnya dalam dinamika kuasa dalaman BERSATU dan PN?
Apa yang lebih mencuri perhatian ialah ketiadaan sokongan terbuka daripada PAS Melaka. Sehingga kini, Ahli Parlimen Jasin merangkap Pesuruhjaya PAS Melaka, Hj. Zulkifli Ismail, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi sama ada menyokong atau menolak keberadaan Mas Ermieyati sebagai Pengerusi PN Melaka. Sikap berdiam diri ini menambah lapisan spekulasi terhadap tahap kesepaduan sebenar dalam kepimpinan PN negeri.
Malah, semakan terhadap laman Facebook rasmi PAS Melaka juga menunjukkan tiada sebarang kenyataan sokongan dikeluarkan berhubung kedudukan Mas Ermieyati. Aktiviti yang diketengahkan setakat ini hanya melibatkan program Majlis Muafakat Nasional, yang turut berlangsung tanpa kelibat Mas Ermieyati sekali gus menguatkan persepsi wujudnya jarak politik yang semakin ketara.
Dalam politik gabungan, sokongan bukan sekadar dizahirkan melalui kenyataan dalaman tetapi turut dinilai melalui isyarat terbuka, kebersamaan simbolik dan konsistensi mesej. Ketiadaan semua elemen ini menjadikan kedudukan Mas Ermieyati terus dipersoalkan, bukan sahaja oleh pemerhati politik malah oleh akar umbi gabungan itu sendiri.
Persoalan yang masih belum terjawab ialah sama ada keheningan PAS Melaka ini bersifat strategik sementara atau mencerminkan pendirian sebenar yang belum mahu dizahirkan secara terbuka.

