Drama politik Sabah hari ini mencapai kemuncak tersendiri apabila seorang menteri Persekutuan dari GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, memuat naik kenyataan bersiri hampir setiap dua jam bagi menolak sekeras-kerasnya penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan kerajaan baharu negeri.
Namun, realiti politik tidak menunggu naratif sesiapa. Walaupun lantang menolak, perkembangan sebenar menunjukkan bahawa kerajaan Sabah yang stabil tidak mampu dibentuk tanpa BN.
Sikap Armizan yang terus-menerus menolak BN memberi gambaran seolah-olah GRS mampu berdiri teguh sendirian tetapi langkah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor jelas menunjukkan fokusnya bukan pada retorik, sebaliknya pada kestabilan.
Hajiji tidak terkesan dengan bantahan Armizan, beliau memilih jalan pragmatic dengan mengiktiraf BN sebagai rakan penting demi membentuk kerajaan negeri yang kukuh dan berfungsi.
Pengumuman pelantikan ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin sebagai Menteri dalam kabinet negeri adalah bukti paling kuat bahawa BN kini sudah kembali menjadi komponen penting dalam “Rumah GRS”.
Pelantikan ini secara praktikal menutup segala perdebatan bahawa BN bukan sekadar menyokong dari luar namun BN kini bahagian rasmi dan signifikan dalam pembentukan kerajaan negeri.
Drama perbalahan pendapat yang tercetus hari ini hanya membuktikan satu perkara iaitu GRS tidak mampu membentuk kerajaan yang stabil tanpa BN.
Akhirnya, di sebalik segala posting, kenyataan dan percaturan satu hakikat terserlah, BN bukan pilihan sampingan tetapi BN adalah komponen penting yang memastikan Sabah ditadbir dengan stabil dan teratur.
Perbezaan pandangan mungkin berpanjangan tetapi Sabah memerlukan kerajaan, bukan drama dan hari ini, kerajaan itu dibentuk kerana GRS akhirnya mengakui keperluan BN.
