Sikap dan pendirian PAS terhadap DAP jelas memperlihatkan satu pola yang sukar disangkal, ia berubah mengikut kepentingan politik semasa, bukannya berpaksikan prinsip konsisten atau dalil tetap sebagaimana sering dilaungkan oleh parti itu sendiri.
Apa yang dahulu dianggap boleh diterima, kini ditokok tambah dengan pelbagai naratif menakutkan bergantung sama ada DAP berada di sisi atau di seberang PAS.
Ketika PAS masih bersama DAP dalam kerangka Pakatan Rakyat, pemimpin tertingginya tampil menenangkan keresahan orang Melayu. Timbalan Presiden PAS ketika itu, Tuan Ibrahim Tuan Man secara terbuka menyatakan bahawa “ketakutan orang Melayu kepada DAP adalah kerana persepsi”. Kenyataan tersebut jelas bertujuan memadam sentimen takut dan curiga, demi mengabsahkan kerjasama politik antara PAS dan DAP.
Namun, sebaik sahaja PAS memilih haluan berbeza dan tidak lagi bersama DAP, nada dan skrip berubah sepenuhnya. DAP kini digambarkan sebagai ancaman kepada Melayu, Islam dan negara. Pelbagai naratif baharu dibina, daripada isu perkauman, kononnya anti-Islam, sehinggalah dakwaan membahayakan kestabilan negara. Terbaharu, PAS lantang mengkritik pelantikan Menteri Wilayah Persekutuan daripada DAP, seolah-olah pelantikan tersebut satu kesalahan besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Ironinya, PAS sendiri tidak pernah menunjukkan konsistensi yang sama apabila melibatkan kepentingan politik mereka. PAS bersetuju melantik Parti Gerakan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, walaupun parti itu tidak memiliki satu pun kerusi Dewan Undangan Negeri di negeri tersebut. Jika benar soal legitimasi, mandat rakyat dan “bahaya kepada negara” menjadi ukuran, mengapa prinsip itu longgar apabila melibatkan rakan sendiri?
Fakta paling jelas, kerana PAS maka DAP berjaya menjadi sebahagian kerajaan Selangor dan buat pertama kalinya DAP dilantik sebagai speaker di DUN Selangor.
Lebih mengelirukan, Tuan Ibrahim sendiri pernah menyatakan ketika berkempen untuk calon bukan Melayu bahawa “kita bukannya nak pilih imam solat”, satu kenyataan yang jelas menegaskan bahawa pemilihan wakil rakyat tidak seharusnya diukur berdasarkan kaum atau latar agama semata-mata. Kenyataan itu selari dengan realiti politik majmuk Malaysia. Namun hari ini, hujah yang sama seakan-akan tidak lagi relevan apabila PAS memilih untuk menyerang DAP dari sudut kaum dan sentimen.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga pernah pada suatu ketika menyeru pengundi supaya menyokong DAP atas dasar kerjasama politik. Seruan tersebut membuktikan bahawa DAP pernah dianggap “boleh diterima” dan “tidak membahayakan” apabila PAS memperoleh manfaat politik daripadanya.
Hakikatnya, apa yang berlaku menunjukkan dalil politik PAS terhadap DAP bukanlah dalil yang tetap, apatah lagi bersumberkan prinsip Al-Quran dan hadis seperti yang sering dilaungkan. Sebaliknya, ia lebih menyerupai dalil bermusim yang berubah mengikut arah angin politik dan keuntungan kuasa. Apa yang menguntungkan PAS dianggap harus, manakala yang merugikan segera dilabel sebagai ancaman.
Dalam politik, perbezaan pendirian bukanlah satu dosa. Namun, memperalatkan agama dan sentimen kaum untuk menghalalkan perubahan sikap yang bersifat oportunis adalah sesuatu yang wajar dipersoalkan. Rakyat berhak menilai, adakah ini soal prinsip atau sekadar nafsu politik yang disadur dengan retorik agama?
