Ahli Politik Pembangkang Dibenarkan Membuat Program Di Kem Tentera?

Melaka Digest
By -
0

Tular satu rakaman video di platform TikTok milik Ahli Parlimen Putrajaya, YB Radzi Jidin yang memaparkan beliau menganjurkan program “Jom Kembali ke Sekolah” di PUSPAHANAS, sebuah fasiliti di bawah naungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Perkongsian itu segera mencetuskan perdebatan awam dan persoalan serius berkaitan garis pemisah antara aktiviti politik dan penggunaan premis kerajaan.


Selama ini, kefahaman umum amat jelas, ahli politik, khususnya yang berada di blok pembangkang, tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti berunsur politik atau berprofil tinggi di premis milik kerajaan termasuk sekolah dan institusi latihan kerajaan. Larangan ini bertujuan memastikan neutraliti institusi awam serta mengelakkan penyalahgunaan fasiliti kerajaan untuk kepentingan politik sempit.

Namun, kemunculan program melibatkan seorang Ahli Parlimen pembangkang di sebuah kem tentera menimbulkan persoalan yang tidak boleh dipandang ringan. PUSPAHANAS bukan sekadar fasiliti biasa tetapi aset strategik negara di bawah ATM, sebuah institusi yang selama ini dijaga ketat daripada sebarang pengaruh atau eksploitasi politik.


Persoalan utama yang kini berlegar di ruang awam ialah:

Adakah program ini mendapat kelulusan rasmi pihak berkuasa tentera?
Jika ya, atas kapasiti apakah kebenaran itu diberikan? dan yang lebih penting, adakah kelulusan sedemikian turut diberikan secara adil kepada semua wakil rakyat tanpa mengira blok politik?

Lebih membimbangkan, jika aktiviti ini dianggap sebagai program kebajikan atau pendidikan, mengapa ia dipromosikan secara terbuka melalui akaun media sosial peribadi seorang ahli politik? Bukankah tindakan itu secara tidak langsung membina imej politik individu berkenaan dengan menggunakan latar institusi kerajaan dan ketenteraan?

Isu ini bukan soal menafikan niat baik atau manfaat program tetapi menyentuh prinsip asas tadbir urus dan keadilan. Jika terdapat kelonggaran terhadap seorang ahli politik, apakah jaminan bahawa standard sama akan diguna pakai secara konsisten kepada semua pihak?

Ketelusan amat diperlukan. Pihak ATM dan Kementerian Pertahanan wajar tampil memberi penjelasan bagi meredakan kekeliruan dan memastikan kepercayaan rakyat terhadap neutraliti institusi pertahanan negara tidak terhakis.

Jika benar wujud “dua set peraturan”, satu untuk pihak tertentu dan satu lagi untuk yang lain maka isu ini tidak lagi kecil. Ia menyentuh integriti institusi negara dan prinsip kesaksamaan dalam pentadbiran.

Rakyat berhak tahu adakah kem tentera kini terbuka sebagai pentas aktiviti ahli politik atau insiden ini satu pengecualian yang perlu dijelaskan secara terbuka?
 

 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)