Timbul persoalan besar tentang rasional dan kewajaran apabila seorang individu yang sedang berdepan 20 pertuduhan rasuah tampil berceramah kononnya untuk membanteras jenayah rasuah. Lebih menghairankan, ceramah tersebut tidak pula dimanfaatkan untuk mempertahankan diri atau menjelaskan satu demi satu pertuduhan serius yang sedang dihadapinya di mahkamah. Inilah ironi yang sedang diperkatakan di Melaka. Mungkin takut mengganggu proses perjalanan kes di mahkamah?
Situasi ini merujuk kepada bekas Timbalan Speaker Dewan Negara, Muhamad Ali atau lebih dikenali sebagai Ali Pasir yang dilihat begitu aktif mengulas dan menyerang isu skandal rasuah melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Di mata sebahagian warga yang hadir ke ceramah tersebut, pendekatan itu disifatkan janggal dan sukar diterima akal. “Cannot brain,” kata seorang hadirin. “Saya ingat dia nak pertahankan dirinya, tapi sibuk bercerita skandal orang lain,” tambah seorang lagi.
Hakikatnya, Ali Pasir bukanlah sekadar individu yang dikaitkan dengan dakwaan kecil atau khabar angin politik. Beliau sebelum ini telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan direman selama lima hari bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan menerima rasuah melibatkan wang tunai dan kenderaan mewah. Kes tersebut mempunyai kaitan langsung dengan projek tambakan laut di Melaka, satu projek berskala besar yang menuntut tahap integriti dan ketelusan tertinggi.
Hasil siasatan SPRM membawa kepada pendakwaan serius di mahkamah. Ali Pasir telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas 20 pertuduhan rasuah melibatkan dakwaan menerima wang tunai kira-kira RM235,000 serta tiga buah kereta mewah sebagai suapan. Semua manfaat itu didakwa diterima sebagai balasan bagi membantu melancarkan urusan berkaitan projek tambakan laut dan kerja-kerja subkontrak tertentu.
Dalam prosiding mahkamah, Ali Pasir mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut. Pengakuan ini secara automatik menafikan sebarang tanggapan bahawa kes itu remeh atau telah selesai. Sebaliknya, ia membuka laluan kepada perbicaraan penuh termasuk pemanggilan saksi, pembentangan dokumen, serta penilaian bukti oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.
Dalam konteks ini, tindakan tampil berceramah tentang rasuah pihak lain, tanpa menjawab atau menumpukan kepada pertuduhan yang sedang dihadapi sendiri, mengundang persepsi negatif di mata awam. Ia bukan sahaja menimbulkan persoalan kredibiliti malah berisiko dilihat sebagai cubaan mengalih perhatian daripada isu pokok yang lebih besar dan lebih dekat dengan dirinya.
Membanteras rasuah menuntut konsistensi moral dan integriti peribadi. Apabila seseorang yang sedang diadili atas puluhan pertuduhan rasuah memilih untuk menjadi “penceramah antirasuah”, persoalan yang timbul bukan sekadar soal undang-undang tetapi soal kejujuran dan keikhlasan. Dalam keadaan ini, mahkamah bukan pentas ceramah tetapi adalah medan paling wajar untuk membersihkan nama dan membuktikan kebenaran.
