Isu bai‘ah bersyarat talaq tiga kembali mencetuskan polemik apabila ia dikaitkan dengan kononnya usaha menegakkan pentadbiran Islam. Persoalan besar yang timbul ialah adakah Islam membenarkan institusi perkahwinan dan maruah isteri dijadikan bahan taruhan politik demi memastikan kesetiaan atau kelangsungan kuasa?
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, sebelum ini telah menyatakan pendirian yang jelas dan tegas bahawa bai‘ah yang disertai dengan sumpah talaq adalah amalan yang tidak selari dengan roh syariah. Menurut beliau, talaq bukan alat sumpah, bukan instrumen politik dan bukan mekanisme untuk memaksa ketaatan. Talaq adalah jalan terakhir dalam rumah tangga yang dibenarkan syarak hanya apabila semua jalan damai telah gagal.
Pandangan ini berasaskan prinsip besar dalam Islam bahawa perkahwinan dibina atas mawaddah, rahmah dan sakinah bukan ancaman dan paksaan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 231 menegaskan agar perceraian tidak dijadikan alat untuk menyakiti atau menzalimi wanita. Ayat ini secara jelas menolak sebarang bentuk manipulasi hukum talaq yang membawa mudarat dan ketidakadilan.
Selain itu, Rasulullah SAW juga melarang penggunaan sumpah yang membawa kepada dosa dan kezaliman. Dalam hadis sahih, Baginda menegaskan bahawa sesiapa yang bersumpah dengan sesuatu yang membawa kemaksiatan, maka sumpah itu tidak wajar dipenuhi. Mengaitkan kesetiaan politik atau jawatan dengan ancaman talaq jelas membuka pintu mudarat yang besar, bukan sahaja kepada isteri, malah kepada institusi keluarga secara keseluruhan.
Mufti Perlis turut menekankan bahawa bai‘ah dalam Islam adalah ikatan moral dan tanggungjawab amanah bukan kontrak paksaan yang digantung dengan ancaman peribadi. Sejarah Islam menunjukkan bahawa bai‘ah para sahabat kepada Rasulullah SAW dan para khalifah selepas Baginda dilakukan secara rela, berasaskan kefahaman dan keikhlasan tanpa sebarang sumpah talaq atau ugutan terhadap keluarga.
Lebih membimbangkan, penggunaan bai‘ah talaq tiga atas nama pentadbiran Islam berpotensi mencemarkan imej agama itu sendiri. Ia memberi gambaran seolah-olah Islam menghalalkan tekanan psikologi, menjadikan wanita sebagai alat kawalan dan meremehkan kesucian ikatan perkahwinan. Hakikatnya, Islam datang untuk memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan bukan merosakkannya demi kepentingan kuasa.
Menegakkan pentadbiran Islam tidak pernah bermula dengan paksaan, apatah lagi dengan mempertaruhkan nasib isteri dan keluarga. Ia ditegakkan dengan keadilan, amanah, ketelusan dan akhlak kepimpinan. Apabila kaedah yang digunakan bercanggah dengan prinsip rahmah dan keadilan maka yang ditegakkan bukan Islam tetapi kuasa yang berselindung di sebalik agama.
Bai‘ah bersyarat talaq tiga bukan sahaja bercanggah dengan pandangan para ulama muktabar malah bertentangan dengan firman Allah dan sunnah Rasulullah SAW. Islam tidak pernah merestui pentadbiran yang dibina atas ugutan, apatah lagi dengan menjadikan wanita sebagai bahan taruhan politik.
