Tulisan ‘DrAA’ atau nama penuhnya Arman Ashaari yang menyerang Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil wajar dibaca dengan penuh hati-hati. Bukan kerana kritikan itu tidak boleh dibuat tetapi kerana nada, andaian dan kesimpulan yang dibina lebih menyerupai usaha membina musuh dalaman daripada menyelesaikan krisis jamaah.
Dalam saat PAS Perlis sedang berusaha menstabilkan keadaan pasca pergolakan politik dan pelantikan Menteri Besar baharu, tulisan DrAA muncul bukan sebagai penenang, sebaliknya menyiram minyak ke atas bara yang belum padam sepenuhnya.
![]() |
| Facebook DrAA |
DrAA berulang kali menggambarkan seolah-olah Ustaz Ahmad Adnan sebagai tokoh naif, tidak memahami politik dan diperalat pihak tertentu. Naratif ini bukan sahaja merendahkan keupayaan intelektual seorang ilmuwan, malah bercanggah dengan realiti peranan Dewan Ulama sebagai badan semak dan imbang dalam PAS.
Ustaz Adnan tidak bercakap sebagai “orang luar”. Beliau bercakap sebagai Ketua Dewan Ulama negeri, satu jawatan yang menuntut keberanian menyuarakan pandangan berasaskan prinsip, walaupun tidak selari dengan selera politik sesetengah pihak.
DrAA mempertikaikan sumber maklumat Ustaz Adnan, kononnya bukan “first hand”. Persoalannya mudah, sejak bila pandangan ulama hanya sah jika datang daripada meja rundingan politik? Dalam PAS, ulama bukan sekadar pencatat minit mesyuarat tetapi penjaga garis prinsip, adab kuasa dan batas ketaatan.
Jika setiap suara yang tidak sehaluan dengan keputusan eksekutif dianggap berpaksikan agenda tersembunyi, maka PAS sedang menuju ke arah budaya membisu, bukan budaya syura.
DrAA menjadikan isu baiah sebagai bukti kononnya Ustaz Adnan menyebarkan maklumat salah. Namun persoalan pokok tidak dijawab, mengapa isu baiah itu timbul dan mengapa ia perlu dipertikaikan secara terbuka?
Hakikat bahawa terdapat pengecualian, rundingan saat akhir dan kaedah yang berbeza sudah cukup menunjukkan wujud ketidakteraturan yang membuka ruang persoalan, bukannya alasan untuk menyerang pembawa soalan.
Apabila DrAA mengheret pelantikan Setiausaha Dewan Ulama dan mengaitkannya dengan tokoh lama serta sejarah lampau, tulisan itu jelas telah beralih daripada hujah kepada pembunuhan karakter. Ini bukan lagi perbahasan prinsip tetapi percubaan mencipta bayang-bayang pengkhianatan tanpa bukti kukuh.
Lebih parah, ulama dipersalahkan kerana “tidak memahami pengurusan konflik”, sedangkan konflik itu sendiri lahir daripada ketidaktelusan, komunikasi tertutup dan keputusan yang dirasai tidak dibincangkan secara menyeluruh.
Taat dan wala’ dalam PAS tidak pernah bermaksud ketaatan membuta tuli. Ia sentiasa terikat dengan kebenaran, keadilan dan nasihat. Menegur bukan bermakna menderhaka. Bertanya bukan bermakna membelot.
Apabila Pesuruhjaya PAS Perlis tampil menafikan pandangan Ustaz Adnan, itu adalah sebahagian proses organisasi tetapi menjadikan episod itu sebagai bukti kesalahan mutlak ulama adalah satu manipulasi naratif yang berbahaya.
Mengapa suara ulama begitu meresahkan sesetengah pihak? Jika pelantikan Menteri Besar baharu benar-benar telah meredakan keadaan, mengapa kritikan berprinsip dilihat sebagai ancaman?
Mungkin masalah sebenar bukan pada ulama yang bersuara tetapi pada pihak yang masih dibayangi rasa tidak selamat terhadap legitimasi dan penerimaan kepimpinan baharu.
PAS tidak akan runtuh kerana ulama menegur. PAS akan rosak jika teguran dianggap dosa, dan kesetiaan ditakrifkan sebagai senyap.
Serangan terhadap Ustaz Ahmad Adnan bukan sahaja mencederakan individu tetapi menghakis peranan Dewan Ulama sebagai nurani jamaah. Jika setiap suara yang tidak selari dituduh sebagai “perosak parti”, maka yang tinggal hanyalah gema kuasa bukan perjuangan.
Sejarah membuktikan, parti yang mematikan suara yang benar akhirnya akan kehilangan roh perjuangannya sendiri.

