Isu bai‘ah politik kembali mencetuskan polemik apabila kerajaan mengumumkan akan memberikan penjelasan rasmi berhubung amalan lafaz bai‘ah dalam kalangan parti politik tertentu.
Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, bahawa pandangan Jabatan Mufti akan dirujuk menandakan satu perkara penting iaitu isu ini bukan remeh, bukan rekaan dan bukan boleh disapu ke bawah karpet politik.
Lebih-lebih lagi apabila polemik ini membabitkan dakwaan lafaz sumpah yang dikaitkan dengan implikasi cerai talaq tiga, satu perkara yang amat serius dalam hukum Islam dan institusi kekeluargaan.
Apabila seorang menteri agama menyatakan keperluan mendapatkan pandangan Jabatan Mufti dan menjanjikan pencerahan berasaskan sumber sahih, mesejnya jelas adalah bahawa bai‘ah politik tidak boleh dibiarkan menjadi zon kabur yang bebas daripada semakan syariah dan moral.
Dr Zulkifli menegaskan bahawa kerajaan mahu memberi pandangan terbaik kepada masyarakat, bukan untuk menghukum mana-mana parti tetapi bagi memastikan kefahaman awam tidak dipesongkan oleh tafsiran politik sempit yang berselindung di sebalik istilah agama.
Dalam reaksi pantas, Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman, menafikan dakwaan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bahawa wujud lafaz bai‘ah atau sumpah yang menuntut pemimpin PAS menceraikan isteri sekiranya melanggar ikrar parti.
Malah, Mohd Syahir memuat naik teks lafaz bai‘ah tersebut dan mencabar agar ditunjukkan bahagian mana yang dianggap “memalukan”.
Isu yang dipertikaikan bukan semata-mata ayat yang tertulis tetapi falsafah dan implikasi bai‘ah politik itu sendiri. Apabila istilah cerai talaq tiga pernah dikaitkan sama ada secara literal, bersyarat atau sebagai bayangan sumpah maka ia sudah cukup untuk mencetuskan kegusaran besar dalam kalangan ulama, fuqaha dan masyarakat awam.
Dalam Islam, cerai talaq tiga bukan bahan mainan, bukan alat ugutan dan bukan instrumen disiplin politik. Ia adalah keputusan hukum yang memberi kesan kekal kepada sebuah keluarga, anak-anak dan maruah individu.
Maka, perkara yang memalukan bukanlah sama ada ayat itu wujud dalam teks yang dimuat naik atau tidak tetapi hakikat bahawa konsep cerai pernah dijadikan sebahagian daripada perbualan, persepsi atau ketakutan dalam konteks kesetiaan politik.
Agama tidak boleh dijadikan mekanisme paksaan. Kesetiaan politik yang lahir daripada ancaman dosa, kehancuran rumah tangga atau manipulasi emosi adalah kesetiaan yang rapuh dan bertentangan dengan prinsip syura, akal sihat dan keikhlasan perjuangan.
Mencabar Mufti Perlis untuk “membuktikan” perkara memalukan mungkin dilihat berani tetapi ia tidak menjawab persoalan lebih besar iaitu mengapa isu ini boleh timbul dan dipercayai oleh sebahagian besar masyarakat?
Hakikat bahawa isu ini mendapat perhatian serius kerajaan, ulama dan media menunjukkan terdapat krisis keyakinan terhadap bagaimana agama digunakan dalam politik, khususnya apabila ia melibatkan bai‘ah yang mengikat bukan sahaja tindakan politik, tetapi juga kehidupan peribadi seseorang.
Pencerahan oleh Jabatan Mufti amat dinantikan, bukan untuk memalukan mana-mana parti tetapi untuk meletakkan garis jelas antara disiplin politik dan batas syariah. Politik boleh berubah, parti boleh bertukar tetapi hukum Allah tidak boleh dijadikan sandaran sumpah yang bersifat taktikal.
Jika benar PAS ingin mempertahankan integriti bai‘ahnya, maka perbahasan perlu diangkat ke tahap prinsip, bukan sekadar memuat naik teks dan mencabar individu kerana dalam isu ini yang dipertaruhkan bukan imej parti semata-mata tetapi maruah agama dan kesucian institusi keluarga Islam itu sendiri.
