Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sememangnya wajar dibahaskan dari sudut pro dan kontra. Namun, persoalan sebenar bukanlah soal tempoh masa semata-mata, sebaliknya prestasi kepimpinan yang ditunjukkan sepanjang memegang amanah. Dalam hal ini, kenyataan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor mengundang persoalan sama ada beliau sedang mempertahankan prinsip atau tanpa sedar sedang meludah ke muka sendiri.
Sanusi menyatakan bahawa seorang Perdana Menteri tidak seharusnya dihadkan tempoh jawatan sekiranya prestasinya cemerlang dan membawa manfaat besar kepada rakyat serta negara. Malah, beliau menyebut tiada masalah untuk seorang Perdana Menteri memegang jawatan sehingga 10 penggal jika prestasi kepimpinannya benar-benar baik. Pada masa sama, Sanusi turut menegaskan bahawa pemimpin yang gagal tidak perlu menunggu sehingga tamat satu penggal untuk digantikan.
![]() |
| sumber dari UPDA |
Kenyataan tersebut dibuat sebagai reaksi terhadap pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang. RUU ini dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan institusi bagi mengelakkan pemusatan kuasa dan memastikan peralihan kepimpinan yang sihat.
Namun, hujah Sanusi bahawa had penggal boleh merugikan negara sekiranya seorang pemimpin muda berprestasi tinggi disekat oleh undang-undang menimbulkan persoalan besar apabila diukur dengan rekod pentadbirannya sendiri. Sepanjang hampir dua penggal menerajui Kedah, apakah pencapaian besar Sanusi yang benar-benar boleh dibanggakan sebagai bukti bahawa tempoh panjang secara automatik menghasilkan prestasi cemerlang?
Lebih mengundang ironi, Sanusi turut mengaitkan faktor usia Perdana Menteri, dengan menyatakan Anwar yang kini berusia 79 tahun wajar dihadkan kepada dua penggal kerana usia lanjut. Kenyataan ini dilihat selektif dan bersifat politik sempit, sedangkan prinsip yang dibahaskan sepatutnya bersandar kepada sistem, bukan individu.
Cadangan had tempoh jawatan Perdana Menteri bukan bertujuan menafikan pemimpin berprestasi, sebaliknya untuk membina sistem semak dan imbang yang lebih kukuh serta memberi ruang kepada pembaharuan kepimpinan. Jika tempoh panjang benar-benar menjadi ukuran kejayaan, maka rekod pentadbiran di peringkat negeri wajar dijadikan cermin sebelum memberi nasihat kepada kepimpinan negara.
Dalam konteks ini, Sanusi seharusnya terlebih dahulu menjawab persoalan rakyat Kedah, sepanjang hampir dua penggal mentadbir, apakah kemajuan nyata negeri yang boleh dijadikan contoh? Tanpa jawapan yang meyakinkan, kenyataan beliau bukan sahaja melemahkan hujah sendiri, malah mengukuhkan keperluan kepada had tempoh jawatan demi kepentingan negara.

