Kenyataan tegas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akhirnya merungkai kekeliruan yang sengaja dibina di ruang awam mengenai peranan sebenar Chegu Bard dalam isu laporan berkaitan dakwaan rasuah yang hangat diperkatakan. Menurut Azam Baki, Chegu Bard bukan seorang whistleblower sebaliknya hanyalah pengadu biasa yang membuat laporan polis serta kenyataan awam.
Azam Baki menjelaskan bahawa Chegu Bard terlebih dahulu hadir ke Balai Polis Dang Wangi untuk membuat laporan, sebelum tampil membuat kenyataan terbuka kepada media. Berdasarkan tindakan tersebut, SPRM tidak mengklasifikasikan beliau sebagai pemberi maklumat dilindungi atau whistleblower di bawah mana-mana peruntukan undang-undang. Tegas Azam Baki, “Dia adalah pengadu. Dia bukan whistleblower dan satu lagi, dia tidak terlibat langsung dengan jenayah berkenaan.”
Penjelasan ini penting kerana status whistleblower membawa implikasi undang-undang yang besar, termasuk perlindungan khas di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat. Namun dalam kes ini, Azam Baki menegaskan bahawa Chegu Bard tidak memenuhi kriteria tersebut, malah tidak mempunyai kaitan langsung dengan kesalahan yang disiasat. Justeru, cubaan untuk membina persepsi seolah-olah beliau bertindak sebagai pemberi maklumat dalaman adalah tidak tepat dan mengelirukan orang ramai.
Lebih signifikan, Azam Baki turut mendedahkan bahawa SPRM telah pun mengambil tindakan lebih awal, sebelum Chegu Bard hadir membuat laporan kepada agensi itu. Menurut kronologi yang dijelaskan, laporan polis dibuat pada hari Isnin, SPRM mengambil tindakan pada hari Selasa dan hanya pada hari Rabu Chegu Bard hadir ke SPRM. Ini sekali gus menafikan dakwaan kononnya siasatan hanya digerakkan hasil tekanan atau laporan beliau.
Kenyataan ini memberi gambaran jelas bahawa SPRM bertindak berdasarkan prosedur dan maklumat sedia ada bukan kerana desakan individu tertentu atau naratif yang dimainkan di media sosial. Ia juga menutup ruang kepada cubaan menampilkan diri sebagai watak utama dalam pendedahan kes, sedangkan siasatan telah pun berjalan mengikut saluran yang betul.
Penegasan Azam Baki bukan sekadar soal istilah tetapi soal integriti proses siasatan. Dalam usaha membanteras rasuah, ketelusan mesti berpaksikan fakta dan undang-undang bukan persepsi, sensasi atau cubaan mengangkat diri sebagai hero palsu. Chegu Bard, menurut SPRM, hanyalah pengadu dan bukan whistleblower. Hakikat ini wajar difahami dengan jelas oleh semua pihak.
