Cabaran terbuka daripada sayap Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang menggesa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaa meletakkan jawatan sebagai EXCO Kerajaan Negeri Melaka akhirnya menerima jawapan hari ini dan ianya bukan melalui polemik media tetapi melalui tindakan berprinsip di hadapan Perhimpunan Pemuda UMNO hari ini.
DAPSY sebelum ini menekan Dr Akmal agar segera mengosongkan jawatan EXCO dan melaksanakan pendiriannya untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan seperti yang dinyatakan pada 7 Januari 2026. Desakan itu kelihatan cuba memperlekeh ketegasan politik Dr Akmal, seolah-olah beliau hanya lantang bercakap tetapi tidak berani bertindak. Namun hari ini, naratif DAP itu runtuh dengan sendirinya.
Dr Akmal menjawab cabaran tersebut secara langsung dengan meletakkan jawatan dan membuktikan bahawa pendirian beliau bukan retorik kosong. Tindakan ini dilihat sebagai manifestasi politik berprinsip sesuatu yang semakin jarang dalam landskap politik semasa. Beliau memilih untuk konsisten dengan pendirian, walaupun berdepan risiko kehilangan jawatan dan kedudukan kuasa.
Penganalisis politik Melaka berpandangan, inilah detik yang memalukan DAP di negeri itu. Ketika Dr Akmal sanggup mengorbankan jawatan demi prinsip, DAP pula dilihat terus ‘menumpang’ dalam kerajaan BN Melaka tanpa keberanian membuat keputusan yang seiring dengan retorik moral dan reformasi yang sering mereka laungkan.
Jadi DAP Melaka perlu perjelaskan di mana prinsip yang dilaungkan? Jika keberanian politik diukur melalui kesediaan menanggung risiko, maka tindakan Dr Akmal telah meletakkan DAP dalam kedudukan defensif. Desakan yang dibuat oleh DAPSY akhirnya memakan diri, membuka ruang perbandingan yang tidak memihak kepada parti itu sendiri.
Ini bukan sekadar isu jawatan EXCO, episod ini menjadi simbol pertembungan antara politik prinsip dan politik cuba merosakkan hubungan. Dr Akmal memilih jalan sukar tetapi konsisten. DAP pula kini berdepan hakikat bahawa cabaran yang dilemparkan telah menelanjangkan kedudukan sebenar mereka dalam kerajaan negeri.
Sekarang Akmal telah berada di luar kerajaan maka DAP perlu ‘lebih berhati-hati’ dalam tindak tanduknya pada masa akan datang.
