Kenyataan seorang wartawan Free Malaysia Today (FMT), Chwan Shiuh Tan dalam satu forum Gaza bersama George Galloway yang menyamakan nasib kaum Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin di bawah kekejaman Israel bukan sahaja meleset daripada fakta malah satu perbandingan yang tidak bertanggungjawab. Ia bukan isu emosi semata-mata ini isu kebenaran, rasional dan kejujuran intelektual.
Menyamakan realiti kehidupan kaum Cina di Malaysia dengan penderitaan rakyat Palestin adalah satu penghinaan terhadap sejarah dan realiti Palestin itu sendiri. Palestin berdepan penjajahan, perampasan tanah, pembunuhan sistematik, pengeboman ke atas orang awam dan sekatan kemanusiaan. Kaum Cina di Malaysia pula adalah warganegara penuh, dapat mengundi, menjadi wakil rakyat, Menteri malah Ketua Menteri. Dua realiti ini tidak berada dalam galaksi yang sama.
Kenyataan tersebut juga secara halus memposisikan bangsa Melayu sebagai “penindas ala Zionis”. Ini bukan sahaja tidak benar malah berbahaya. Di Malaysia, tiada rumah kaum Cina dirobohkan oleh tentera Melayu, tiada tanah dirampas secara kekerasan, tiada kanak-kanak Cina ditembak atau dibom. Membina naratif palsu sebegini adalah api yang boleh menyemarakkan kebencian antara kaum.
Dari sudut ekonomi dan sosial, fakta ‘bercakap sendiri’. Tiada sekatan undang-undang terhadap pemilikan perniagaan oleh kaum Cina, daripada perusahaan kecil hingga syarikat gergasi dan institusi kewangan. Malah, dalam banyak sektor ekonomi, kaum Cina menguasai bahagian yang dominan. Sistem pendidikan vernakular yang mengekalkan identiti dan bahasa juga wujud secara sah dan ini bukti satu keistimewaan yang jarang diberi di banyak negara lain.
Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan sering dijadikan sasaran retorik, seolah-olah ia simbol kezaliman mutlak. Hakikatnya, kewujudan Artikel 153 tidak pernah merampas hak kaum Cina untuk berjaya, mengumpul kekayaan atau menikmati kebebasan bersuara. Ironinya, mereka yang melaungkan diri sebagai “mangsa” inilah yang paling bebas bercakap, paling selesa hidup dan paling luas peluangnya di negara ini.
Lebih parah, kenyataan sebegini datang daripada seorang wartawan, profesion yang sepatutnya menjunjung disiplin fakta dan tanggungjawab awam. Apabila perbandingan melampau dibuat tanpa asas, ia bukan lagi kritikan, ia propaganda. Dan propaganda seperti ini, jika dibiarkan, hanya merosakkan kepercayaan antara kaum.
Malaysia tidak sempurna. Setiap negara ada cabarannya. Tetapi menyamakan ketidaksempurnaan dasar dengan penjajahan berdarah adalah satu penipuan moral. Kritiklah dengan jujur, berhujahlah dengan fakta. Jangan korbankan kebenaran demi sensasi dan jangan jadikan tragedi Palestin sebagai alat untuk menabur kebencian di tanah air sendiri.

