Datuk Seri Hamzah Zainudin kini disebut-sebut sebagai pemimpin terbaharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berdepan risiko tindakan disiplin termasuk kemungkinan dipecat. Gelombang spekulasi ini tercetus apabila beberapa ketua bahagian dan pemimpin Bersatu di Perak yang dikaitkan dengan Hamzah dilaporkan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti, susulan kritikan terbuka mereka terhadap kepimpinan tertinggi Bersatu.
Apa yang menimbulkan tanda tanya ialah Timbalan Presiden Bersatu itu sendiri tidak menerima sebarang notis panggilan walaupun individu-individu yang didakwa sehaluan dengannya dipanggil seorang demi seorang. Situasi ini menimbulkan persepsi bahawa siasatan disiplin bukan lagi soal melanggar peraturan parti, sebaliknya mula dilihat sebagai usaha menyekat pengaruh dan mematahkan rangkaian sokongan dalaman.
Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh secara terbuka membangkitkan persoalan sama ada tindakan memanggil, menggantung atau memecat pemimpin parti kini dibuat secara selektif. Beliau mempersoalkan keadilan proses disiplin apabila kritikan terhadap kepimpinan dianggap kesalahan berat sedangkan suara berbeza sepatutnya menjadi mekanisme semak dan imbang dalam sebuah parti politik.
Krisis ini hadir pada saat Bersatu sedang bergelut memulihkan keyakinan akar umbi dan memperkemas hala tuju menjelang PRU akan datang. Hamzah yang sebelum ini dilihat sebagai antara tokoh paling berpengaruh dan berpengalaman dalam parti, kini berada di tengah pusaran konflik dalaman yang semakin ketara. Bagi sebahagian pemerhati politik, jika benar wujud usaha untuk “membersihkan” tokoh tertentu, ia berisiko memecahkan parti dari dalam.
Lebih membimbangkan, tindakan disiplin terhadap pemimpin Perak yang lantang bersuara memberi isyarat bahawa budaya takut sedang berakar. Kritikan dilabel sebagai penderhakaan, manakala perbezaan pandangan dianggap ancaman. Dalam suasana ini, persoalan besar timbul: adakah Bersatu sedang menuju ke arah parti yang tertutup dan autoritarian, atau masih terbuka kepada perbahasan dalaman yang sihat?
Jika langkah keras diambil terhadap Hamzah atau rangkaiannya, kesannya bukan kecil. Ia bukan sahaja boleh mencetuskan gelombang keluar parti, malah mengukuhkan persepsi bahawa Bersatu sedang bergelut dengan krisis kepimpinan yang serius. Api perpecahan sudah menyala, adakah kepimpinan tertinggi memilih untuk memadamkannya, atau membiarkan ia membakar parti dari dalam?
