Ladang Babi Selangor: Tiba-Tiba UMNO Pula Disalahkan

Melaka Digest
By -
0
Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor, Dr Mohd Fauzi Fadzil

Isu ladang ternakan babi berskala besar di Tanjong Sepat, Kuala Langat kini memasuki fasa pelik apabila UMNO pula dijadikan sasaran, seolah-olah parti itu punca kepada keputusan dan pelaksanaan projek yang sedang dipertikaikan rakyat. Persoalan paling ketara dibangkitkan penduduk setempat ialah mengapa pimpinan DAP Selangor kelihatan senyap sedangkan isu ini akhirnya ditegur secara terbuka oleh Sultan Selangor sendiri? Mengapa naratif dialihkan kepada UMNO, sedangkan keputusan pentadbiran berada di tangan kerajaan negeri semasa?


Penduduk tempatan secara sinis mempersoalkan logik pertahanan yang cuba dibina. Jika projek besar seperti HSR boleh dibatalkan, GST boleh dimansuhkan, BR1M boleh ditukar dan distruktur semula, mengapa projek ladang babi berskala besar ini seolah-olah “tidak boleh disentuh”? Lebih membangkitkan keresahan apabila projek itu terletak di kawasan majoriti penduduk Melayu Islam yang telah lama menanggung masalah bau, pencemaran dan gangguan kesihatan.

Dalam usaha mempertahankan kerajaan negeri, Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor, Dr Mohd Fauzi Fadzil menyatakan bahawa idea memusatkan ladang ternakan babi bukanlah cetusan Kerajaan MADANI Selangor, sebaliknya telah dibincangkan sejak tahun 2007 semasa pentadbiran Barisan Nasional. Kenyataan ini cuba membawa mesej bahawa isu tersebut bersifat dasar jangka panjang dan dipersetujui merentas pentadbiran, bukan isu politik semasa.

Beliau turut memetik data bahawa sebelum tahun 2008 terdapat 132 ladang babi di Selangor, kebanyakannya beroperasi secara haram dan jumlah itu kini berjaya dikurangkan kepada 111 ladang. Atas dasar itu, beliau mendakwa rekod Kerajaan MADANI Selangor lebih baik berbanding kerajaan BN pra-2008 serta menegaskan isu ini tidak wajar ditunggang untuk membakar emosi rakyat.

Namun, persoalan pokok masih belum terjawab sepenuhnya. Pengurangan bilangan ladang tidak menafikan kebimbangan terhadap pembesaran skala operasi dan kemungkinan orientasi eksport yang ditegur oleh Sultan Selangor. Teguran baginda bukan isu angka semata-mata tetapi soal kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat, alam sekitar dan keharmonian masyarakat setempat.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos, menyatakan sokongan penuh terhadap titah Sultan Selangor dan mempersoalkan sikap berdiam diri wakil rakyat kawasan terlibat. Beliau menegaskan titah Istana tidak wajar dipinggirkan dan sebarang kelewatan atau keengganan bertindak boleh dianggap mengkhianati kepentingan rakyat.

Sebagai respons, Dr Mohd Fauzi menuduh Jamal membangkitkan emosi rakyat dengan maklumat yang didakwa tidak tepat, termasuk gambaran kononnya kerajaan negeri ingkar terhadap titah Sultan Selangor. Beliau turut mempertahankan Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah dengan menyatakan bahawa sejak awal lagi Borhan menolak penternakan babi berskala besar atau berorientasikan eksport.

Di sebalik perang kenyataan ini, satu realiti tidak boleh dinafikan, teguran Sultan Selangor telah meletakkan isu ini pada tahap yang jauh lebih serius daripada sekadar polemik politik. Rakyat mahu penyelesaian, bukan pengalihan siapa salah. Apabila UMNO dijadikan sasaran, sementara pimpinan parti yang memegang kuasa pentadbiran kelihatan defensif, persepsi awam semakin mengukuh bahawa ada sesuatu yang cuba dilindungi.

Isu ladang babi Selangor bukan soal siapa mula mencadang tetapi siapa bertanggungjawab hari ini. Dalam keadaan Sultan Selangor sendiri menyuarakan kebimbangan, rakyat berhak menuntut jawapan tegas, tindakan nyata dan keberanian politik, bukan naratif songsang yang memindahkan kesalahan kepada pihak lain.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)