Jika Panglima Angkatan Tentera Boleh Disiasat, Menteri Besar Juga Tidak Kebal

Melaka Digest
By -
0

Prinsip asas negara hukum adalah mudah dan tegas, tiada siapa kebal daripada siasatan, sama ada berpangkat Panglima Angkatan Tentera mahupun Menteri Besar sesebuah negeri. Justeru, dakwaan penjualan tanah milik Kerajaan Negeri Terengganu yang kini hangat diperkatakan wajar disiasat semula secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.


Pada tahun 2023, Pengerusi Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yob menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan terhadap dakwaan penjualan tanah kerajaan yang didakwa direstui oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Isu ini timbul susulan pendedahan tular bahawa sebidang tanah kerajaan bernilai RM29.3 juta didakwa dijual kepada sebuah NGO pro-PAS, Persatuan Khairunnisa dengan bayaran premium hanya RM500,000. Persatuan ini dipengerusi oleh isteri Samsuri sendiri.

Menurut Ahmad Nadhir, dakwaan tersebut bukan isu kecil kerana ia menyentuh soal tatakelola, integriti dan amanah kerajaan negeri. Tambahnya, rakyat Terengganu berhak mengetahui sama ada keputusan itu dibuat secara sah, berasaskan kepentingan awam atau sebaliknya menguntungkan pihak tertentu yang mempunyai hubungan politik.


Apa yang lebih membimbangkan, penjualan tanah seluas 11,299 meter persegi itu dilaporkan tidak mendapat sokongan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan bercanggah dengan kadar premium sebenar yang sepatutnya mencecah RM5.87 juta. Namun, kadar itu didakwa dikurangkan secara drastik kepada RM500,000 sahaja, satu perbezaan yang terlalu besar untuk dipandang ringan.


Isu ini juga turut dibangkitkan secara rasmi di Dewan Undangan Negeri Terengganu oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Beliau mendedahkan bahawa tanah tersebut diperoleh ketika pentadbiran Barisan Nasional, namun kemudiannya dijual oleh kerajaan PAS pada harga yang jauh lebih rendah kepada NGO yang mempunyai kaitan langsung dengan parti pemerintah negeri.

Susulan tekanan awam dan pendedahan berterusan, SPRM mengesahkan telah membuka dua kertas siasatan berkaitan penjualan tanah kerajaan Terengganu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan siasatan sedang berjalan dan akan dilakukan secara adil tanpa mengira masa atau tekanan politik.

Beliau mengesahkan satu siasatan melibatkan penjualan tanah kepada badan kebajikan yang dikaitkan dengan isteri wakil rakyat, manakala satu lagi melibatkan urusan penjualan tanah kepada Exco sebelum dipindahkan kepada pihak lain. Beberapa keterangan telah direkodkan, namun belum dapat dipastikan sama ada keterangan Menteri Besar telah diambil pada ketika itu.

Di sinilah timbul persoalan besar yang tidak boleh dielakkan, jika Panglima Angkatan Tentera boleh disiasat, mengapa Menteri Besar tidak disiasat?

Sejarah telah membuktikan bahawa jawatan tinggi tidak pernah menjadi perisai mutlak. Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo, disabitkan kesalahan berkaitan pemilikan hartanah yang diperoleh ketika memegang jawatan. Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, pula didakwa di mahkamah berhubung isu pembelian banglo dan urusan tanah kerajaan, walaupun akhirnya dilepas dan dibebaskan melalui proses perundangan.

Perbezaannya jelas, kedua-dua kes tersebut disiasat, didakwa dan diadili di mahkamah tanpa slogan agama, tanpa perlindungan politik dan tanpa naratif kononnya ia serangan terhadap negeri atau parti.

Maka dalam kes Terengganu, standard yang sama mesti diguna pakai. Siasatan bukan bermaksud sabit kesalahan tetapi kegagalan menyiasat akan mengundang persepsi bahawa kuasa digunakan sesuka hati dan agama dijadikan perisai politik.

Rakyat Terengganu tidak meminta lebih, hanya satu perkara, kebenaran dan keadilan. Jika tiada salah laku, siasatan akan membersihkan nama. Jika ada penyalahgunaan kuasa, maka undang-undang mesti ditegakkan tanpa memilih bulu.

Dalam negara demokrasi matang, kuasa bukan lesen untuk kebal dan dalam Malaysia Madani, integriti bukan pilihan ia kewajipan.


Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)