Wasiat Arwah Nik Aziz Supaya Bubarkan PAS - Zahid

Melaka Digest
By -
0

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencetuskan perbahasan politik dan ideologi apabila menyentuh kembali kenyataan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah menyebut bahawa PAS wajar dibubarkan sekiranya UMNO meletakkan Islam sebagai asas dalam perlembagaan parti.


Menurut Zahid, kenyataan yang dibuat oleh Nik Aziz pada tahun 2008 itu wajar dilihat sebagai satu “wasiat politik” yang membawa mesej jelas tentang keperluan penyatuan umat Islam dan penamatan politik kepartian yang memecah-belahkan atas nama agama.

“Apabila almarhum Nik Aziz menyebut bahawa jika UMNO meletakkan Islam sebagai asas dalam perlembagaannya maka PAS akan dibubarkan, saya anggap itu sebagai satu wasiat,” kata Zahid ketika berucap pada majlis perasmian penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Zahid menegaskan bahawa perkara pertama yang dilakukan beliau selepas mengambil alih kepimpinan UMNO ialah meminda Perlembagaan parti bagi meletakkan Islam sebagai teras utama, satu langkah yang diluluskan sebulat suara oleh perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2019.

Namun, beliau mempersoalkan mengapa PAS masih terus wujud dan bersikap eksklusif walaupun syarat yang disebut oleh Nik Aziz itu telah dipenuhi.

“Tapi PAS belum terbubar lagi. Saya harap PAS akan terbubar dengan sendiri,” katanya secara terbuka.

Pindaan Perlembagaan UMNO pada 2019 secara rasmi meletakkan Islam sebagai asas perjuangan parti, diikuti dengan bangsa dan negara. Langkah ini menurut kepimpinan UMNO menafikan dakwaan bahawa UMNO menolak Islam atau memperalatkan agama demi kepentingan politik.

Mengimbau kenyataan Nik Aziz pada 2008, bekas pemimpin PAS itu pernah mencadangkan agar UMNO dan PAS dibubarkan untuk digantikan dengan sebuah parti baharu berlandaskan Islam, bertujuan menyatukan orang Melayu dan menjadi payung kepada semua kaum termasuk bukan Islam.

“UMNO bubar, PAS pun bubar. Tubuh parti lain dengan syarat berdasarkan kepada Islam,” kata Nik Aziz ketika itu.

Dalam konteks semasa, kenyataan Zahid dilihat sebagai sindiran tajam terhadap PAS yang terus menjadikan agama sebagai modal politik, namun pada masa sama enggan bergerak ke arah penyatuan sebenar umat Islam sebagaimana yang pernah disarankan oleh tokoh ulama mereka sendiri.

Zahid turut menegaskan bahawa UMNO tidak pernah menolak Islam, malah mempunyai rekod jelas dalam memartabatkan kedudukan agama itu dalam kerangka kenegaraan Malaysia. Beliau mengingatkan bahawa Islam dimaktubkan sebagai agama Persekutuan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, manakala peranan Raja-Raja Melayu sebagai payung agama diperkukuhkan menerusi Perkara 38, satu warisan penting hasil perjuangan UMNO sejak awal kemerdekaan.

“Ini adalah jasa besar UMNO yang tidak boleh dipadamkan daripada sejarah negara,” tegas beliau.

Kenyataan ini secara tidak langsung meletakkan PAS dalam dilema moral dan ideologi sama ada terus mempertahankan kewujudan parti atas nama Islam atau berani menunaikan semangat penyatuan yang pernah disuarakan oleh Mursyidul Am mereka sendiri.

Dalam landskap politik hari ini, persoalan yang timbul bukan lagi siapa lebih Islam tetapi siapa yang benar-benar ikhlas menjadikan Islam sebagai asas penyatuan, bukan alat pemecahan.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)