Krisis politik di Perlis terus menjadi tumpuan apabila dakwaan bahawa BERSATU didakwa mengkhianati PAS sehingga Menteri Besar sebelum ini, Mohd Shukri Ramli terpaksa meletak jawatan, hangat diperkatakan.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akhirnya tampil menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut selepas mendapat penjelasan daripada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) malam tadi. Muhyiddin menegaskan BERSATU tidak terlibat dalam sebarang usaha “mensabotaj” PAS dan keputusan peletakan jawatan Mohd Shukri adalah kuasa mutlak Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, yang mesti dihormati.
“BERSATU tidak memain peranan, nak sabotaj PAS, tidak ada. Itulah keputusan sebenar. Kita menafikan sekeras-kerasnya jika ada pihak mengatakan kita pengkhianat. Secara peribadi pun saya tidak terbabit,” tegas beliau selepas mempengerusikan mesyuarat MPT yang berlangsung hampir tiga jam itu.
Krisis bermula apabila lapan ADUN, tiga dari PAS dan lima dari BERSATU dilaporkan menarik sokongan terhadap Mohd Shukri yang seterusnya meletak jawatan atas alasan kesihatan. Pimpinan PAS menganggap tindakan itu sebagai pengkhianatan terhadap rakan gabungan mereka dalam Perikatan Nasional (PN), sekaligus mencetuskan ketegangan dalam gabungan politik di negeri itu.
Mesyuarat MPT malam tadi turut dihadiri Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai sebahagian daripada usaha parti menenangkan keadaan dan menegaskan pendirian rasmi BERSATU. Namun, lambatnya penafian rasmi daripada Muhyiddin menimbulkan persoalan tentang kredibiliti parti dalam menghadapi isu sensitif terutama di mata rakan gabungan PAS dan pengundi di Perlis.
Krisis ini bukan sahaja membuka bab baru ketegangan dalam PN tetapi juga menguji kesetiaan dan strategi BERSATU dalam mengekalkan hubungan dengan PAS menjelang PRU akan datang.
