Dalam satu respon sinikal namun sarat mesej politik, Ketua Pemuda PAS membalas secara terus terang:
“Nak tanya sikit. Bangunan mana yang dibina tanpa pasir?
Semua bangunan yang kukuh mesti dibina dengan pasir — dicampur simen, air dan lain-lain.
Kami nak duduk sekali sesama kami.
Bukannya duk kacau orang lain.
Hang nak berkawan, boleh mai.
Hang tak mau, sudah.
Toksah duk kalut.
Pi main tepi pantai. Kat sana banyak pasir.”
Kenyataan ini jelas ditujukan kepada Ramasamy yang sebelum itu mendakwa langkah PAS melepaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) demi bekerjasama dengan UMNO dalam MN adalah satu tindakan rapuh dan berisiko yang diibaratkan seperti membina istana pasir yang mudah runtuh.
Menurut Ramasamy, Presiden Urimai, jika kepimpinan PAS benar-benar melihat UMNO sebagai alternatif lebih baik berbanding Bersatu, ia mencerminkan satu kejahilan politik yang menghairankan. Bekas pemimpin DAP itu berhujah bahawa kerjasama PAS bersama Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN) sebelum ini terbukti meningkatkan sokongan rakyat terhadap PAS dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri lalu.
Beliau mengakui Bersatu mungkin kecil dari segi jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri namun menegaskan kekuatan parti itu terletak pada tokoh kepimpinannya, Muhyiddin Yassin sebagai bekas Perdana Menteri serta Hamzah Zainudin dan Mohamed Azmin Ali sebagai bekas menteri kanan.
Ramasamy turut mendakwa Bersatu, walaupun bersifat mono-etnik, mempunyai hubungan yang lebih baik dengan pengundi bukan Melayu berbanding PAS. Menurutnya, kewujudan Bersatu dalam PN telah membantu meredakan tanggapan ekstremisme yang sering dikaitkan dengan PAS dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
“Pas mungkin benar-benar mahu meraih sokongan bukan Melayu tetapi setakat ini masih belum menemui formula politik yang sesuai,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa sekiranya Bersatu atau pemimpin kanannya benar-benar meninggalkan PN, adalah sukar untuk PAS bersendirian menawan semula sokongan bukan Melayu.
Ramasamy juga menyifatkan peletakan jawatan beberapa pemimpin kanan Bersatu sebagai satu duluan berbahaya yang boleh mencetuskan gelombang lebih besar dalam masa terdekat. Malah, beliau berpendapat sekiranya Muhyiddin Yassin merangka satu gabungan pembangkang baharu berskala besar seperti Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) melibatkan 12 presiden parti, PAS mungkin berada dalam keadaan tidak selesa.
Sehubungan itu, beliau menegaskan krisis politik di Perlis sepatutnya kekal sebagai isu negeri dan tidak dibiarkan merebak sehingga menggugat kestabilan PN di peringkat nasional.
Namun, respons Ketua Pemuda PAS memberi isyarat jelas bahawa PAS tidak berganjak dengan tekanan luar, apatah lagi nasihat daripada pihak yang tidak berada dalam saf perjuangan mereka. Sindiran “pi main tepi pantai” bukan sekadar jawapan menghina tetapi gambaran keyakinan PAS bahawa mereka berhak menentukan rakan politik sendiri tanpa perlu tunduk kepada naratif atau restu pihak luar.

