Laksamana Sabri Zali Teruskan Saman Terhadap Chegu Bard

Melaka Digest
By -
0



Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali, memilih jalan paling tegas apabila mengesahkan akan meneruskan tindakan saman terhadap aktivis Pembela Tanah Air (PETA), Chegu Bard di Mahkamah Tinggi. Langkah ini sekali gus memberi gambaran jelas bahawa tuduhan tidak akan dibiarkan berlalu sebagai modal politik murahan.


Berdasarkan jemputan kepada media, satu sidang akhbar berhubung perkembangan tindakan undang-undang tersebut dijadualkan berlangsung pada jam 11.30 pagi, hari ini. Ia susulan kegagalan surat tuntutan (LOD) untuk meredakan kemelut antara kedua-dua pihak.

Sabri sebelum ini pada 2 Januari lalu telah menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau dan menyifatkannya sebagai tidak benar, mengelirukan serta berunsur fitnah. Penafian itu bukan sekadar mempertahankan diri tetapi juga maruah institusi yang dikaitkan secara tidak bertanggungjawab dalam dakwaan tersebut.

Peguam beliau, Muhammad Firdaus Jumaluddin menjelaskan bahawa tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah secara langsung menyeret nama Puspahanas, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), satu perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan. Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang sabitan, apatah lagi bukti bahawa Sabri terlibat dalam rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku.

Lebih membimbangkan, tegas beliau, sebarang dokumen yang diperoleh secara tidak sah, dipetik di luar konteks, dipilih secara selektif atau terdedah kepada manipulasi tidak boleh dijadikan asas untuk menjatuhkan reputasi seseorang, apatah lagi untuk membina persepsi bersalah di mata awam.

Sabri menegaskan beliau mengekalkan sepenuhnya hak undang-undang, termasuk mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan, mengulang siar atau memutarbelitkan kenyataan berunsur fitnah. Penyebaran tuduhan yang belum disahkan, katanya bukan sahaja mencemarkan reputasi individu tetapi juga merosakkan keyakinan awam terhadap institusi negara dan membuka ruang kepada ketidakadilan serius.

Beliau turut menggesa semua pihak supaya menghormati proses undang-undang dan menghentikan budaya menghukum melalui persepsi, satu amalan yang semakin menjadi-jadi dalam politik hari ini.

Sebelum ini, pada 6 Januari, Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin yang juga Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson menggesa agar Sabri direhatkan sementara bagi memberi laluan kepada siasatan terhadap dakwaan yang dikaitkan dengannya. Alasan yang diberikan ialah untuk memastikan siasatan dapat berjalan secara bebas tanpa persepsi atau gangguan.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)