Polemik siapakah figura paling layak menerajui kepimpinan negara terus panas apabila Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad tampil mempertahankan pendirian bahawa jawatan tertinggi negara wajib diisi oleh seorang ulama bukan sekadar tokoh politik yang kelihatan berwibawa.
Menurut Zaharudin, berpolitik untuk menegakkan hukum Islam bukan pilihan tetapi kewajipan agama. Katanya, politik yang bertujuan semata-mata untuk meraih kuasa tanpa menjadikan hukum Islam sebagai teras hanyalah politik kosong tanpa makna.
Zaharudin mengkritik keras kecenderungan sesetengah pihak yang menurutnya terlalu taksub kepada kuasa, jawatan dan kemenangan politik tetapi gagal memahami tanggungjawab sebenar apabila memerintah.
Zaharudin menggunakan analogi hukum berwuduk, katanya tidak wajib dengan sendirinya, namun menjadi wajib apabila seseorang mahu mendirikan solat.
“Kalau berpolitik semata-mata nak jadi kerajaan, parti dan pemimpin jadi perdana menteri tapi hukum semua ‘ke laut’, maka ia seumpama orang yang hebat berwuduk tetapi tak tahu solat,” tegasnya.
Kenyataan ini secara tersirat menyindir pemimpin yang cekap berpolitik tetapi kabur terhadap pelaksanaan hukum Islam apabila diberi kuasa.
Krisis PN: Ulama Dipinggir, Tokoh “Bukan Fuqaha” Diangkat?
Hantaran tersebut muncul ketika jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) masih menjadi tanda tanya berikutan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin, sekali gus membuka medan pertembungan dalaman dalam PAS sendiri.
Zaharudin sebelum ini secara terbuka menyatakan kekecewaan terhadap pengunduran Muhyiddin dan mencadangkan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon paling layak menggantikan posisi tersebut, satu cadangan yang jelas berasaskan latar belakang keulamaan.
Namun, dalam masa yang sama, wujud desakan dalaman supaya Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri diberi kepercayaan mengetuai PN walaupun beliau bukan dari kalangan ulama.
Situasi ini memperlihatkan pertembungan dua aliran dalam PAS:
satu yang menekankan kepimpinan ulama dan satu lagi yang cenderung kepada tokoh profesional berimej teknokrat.
Lebih membimbangkan, Zaharudin turut membangkitkan semula istilah “Jebon”, merujuk kepada kelompok dalam PAS yang menurutnya berusaha menaikkan pemimpin bukan ulama ke posisi tertinggi parti dan negara.
Istilah ini bukan asing dalam sejarah PAS. Krisis “Jebon” pernah memuncak pada 2015 dan membawa kepada perpecahan besar parti satu luka lama yang kini kelihatan kembali berdarah.
Dalam hantarannya bertajuk “Mengapa Saya Bersama PAS Hari Ini”, Zaharudin menegaskan bahawa kepimpinan umat Islam tidak boleh diserahkan kepada individu yang hanya kelihatan hebat tetapi tidak menguasai hukum-hakam Islam.
“Saya akan buktikan bahawa seseorang yang bukan fuqaha walau dilihat hebat sebenarnya tidak layak dari segi hukum menerajui umat. Dia seumpama faham wuduk, tapi tak faham solat.
Faham politik kepartian tetapi tak faham apa yang perlu dibuat bila memerintah Malaysia,” katanya.
Kenyataan ini dilihat sebagai serangan terbuka terhadap naratif kepimpinan berasaskan imej, prestasi dan populariti semata-mata.
Namun kelantangan Zaharudin tidak diterima baik oleh semua pihak. Ruang komen media sosialnya dibanjiri reaksi kurang senang, termasuk daripada penyokong PAS sendiri.
Dalam satu respon balas yang pedas, Zaharudin mempersoalkan tahap kefahaman dan tarbiah pasukan siber parti.
“Saya pelik, adakah siber trooper kita sekarang dah tak ada tarbiah? Hujah macam sekular,” tulisnya.
Menurut sumber, siber truper pro Samsuri sentiasa 'menjaga' nama Samsuri dengan jumah yang besar?
