MA63: Jawapan Bertulis Azalina Di Parlimen, Salah Faham Terhadap Locus Kuasa PETRONAS dan Tanggungjawab Perlembagaan

Melaka Digest
By -
0


Naratif yang cuba melabelkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai “menteri bertanggungjawab” kerana menjawab isu berkaitan PETRONAS dan MA63 sebenarnya berpunca daripada kegagalan memahami struktur kuasa perlembagaan negara.


Dalam sistem kenegaraan Malaysia, tanggungjawab tidak ditentukan oleh siapa yang menjawab di Parlimen atau media tetapi oleh siapa yang memiliki kuasa statutori. Dalam kes PETRONAS, undang-undang memperuntukkan perkara ini dengan jelas dan tidak membuka ruang kepada tafsiran emosi atau politik.

Di bawah Petroleum Development Act 1974, Seksyen 2(1) memperuntukkan bahawa keseluruhan pemilikan dan hak eksklusif petroleum terletak pada PETRONAS. Namun peruntukan yang paling kritikal ialah Seksyen 2(2) yang menetapkan bahawa PETRONAS menjalankan kuasanya melalui instrumen bertulis oleh Perdana Menteri. Ini membawa maksud bahawa PETRONAS bertanggungjawab secara langsung kepada Perdana Menteri yang bertindak sebagai pemegang saham tunggal bagi pihak Persekutuan.

Tiada mana-mana menteri lain termasuk menteri cabinet yang mempunyai kuasa statutori langsung ke atas PETRONAS. Oleh itu, apabila Datuk Seri Azalina memberikan penjelasan berkaitan PETRONAS, beliau tidak mengambil alih tanggungjawab Perdana Menteri sebaliknya menyampaikan kedudukan undang-undang Kerajaan Persekutuan bagi pihak ketua eksekutif negara.

“Answering on behalf doesn’t mean responsibility” adalah selari dengan amalan sistem Westminster yang menjadi asas kepada sistem Parlimen Malaysia.

Dalam amalan ini, seorang menteri boleh menjawab bagi pihak Perdana Menteri, Kabinet atau agensi kerajaan tanpa memindahkan liabiliti undang-undang atau tanggungjawab dasar kepada dirinya secara peribadi.

Liabiliti tersebut kekal pada pihak yang mempunyai autoriti sebenar. Dalam konteks ini, Datuk Seri Azalina sebagai Menteri Undang-Undang bertanggungjawab dari segi portfolio untuk menjelaskan isu yang melibatkan tafsiran perlembagaan, hubungan Persekutuan–Negeri dan kedudukan undang-undang PETRONAS menjadikan beliau individu paling sesuai untuk menjawab tetapi bukan individu yang patut dipersalahkan.

Isu royalti petroleum pula sering disalah kaitkan dengan MA63 sedangkan hakikat perundangannya berbeza.

MA63 tidak menyebut secara eksplisit mengenai royalti petroleum 20 peratus. Royalti tersebut lahir daripada Petroleum Development Act 1974 serta perjanjian komersial antara PETRONAS dan kerajaan negeri melalui ‘Cash Payment Agreement’. Ini menjadikan isu royalti sebagai persoalan kontrak, undang-undang persekutuan dan dasar eksekutif bukannya isu MA63 atau agenda peribadi mana-mana menteri.

Datuk Seri Azalina menjawab isu yang menyentuh MA63 bukan kerana beliau memikul tanggungjawab terhadap royalti petroleum tetapi kerana soalan yang dibangkitkan melibatkan tafsiran perlembagaan, kedudukan undang-undang PETRONAS, bidang kuasa Persekutuan di bawah Perkara 74 dan Jadual Kesembilan serta fakta bahawa petroleum berada sepenuhnya dalam senarai kuasa Persekutuan. Dari sudut locus standi, Datuk Seri Azalina ialah pihak yang paling berautoriti untuk memberikan penjelasan undang-undang dan bukannya sasaran politik untuk dijadikan kambing hitam.

Perbahasan mengenai PETRONAS, MA63 dan royalti petroleum seharusnya berteraskan Perlembagaan Persekutuan, Petroleum Development Act 1974 dan prinsip asas locus kuasa, bukannya sentimen atau serangan peribadi.

Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan memperincikan fungsi eksekutif negara dan undang-undang tidak boleh ditafsir mengikut selera politik. Jika hujah ini dibawa ke mahkamah, fakta undang-undang akan berbicara dengan sendirinya dan yang tinggal hanyalah persoalan sama ada kita mahu berhujah dengan akal dan fakta atau terus membina naratif yang salah apabila terkait dengan undang-undang.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)