Naratif bahawa Muhyiddin Yassin “meletak jawatan tetapi mahu kembali berkuasa” sebenarnya gagal apabila fakta perlembagaan Perikatan Nasional (PN) dibaca dengan jujur kata Haji Marzuki Mohamad, bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin Yassin.
Dalam Perlembagaan PN sedia ada, Fasal 7A dengan jelas memperuntukkan kewujudan Majlis Presiden yang dianggotai oleh Presiden-presiden parti komponen PN. Hakikat ini penting kerana walaupun Muhyiddin telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, beliau tidak pernah terkeluar daripada struktur tertinggi PN sebagai Presiden BERSATU dan beliau kekal ahli Majlis Presiden.
Selepas kekosongan jawatan Pengerusi PN. Mengikut amalan organisasi, Pengerusi Majlis Presiden ialah Pengerusi PN dan hanya Pengerusi berkuasa memanggil serta mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden.
Apabila jawatan Pengerusi PN dikosongkan maka wujud keperluan praktikal dan berperlembagaan untuk melantik seorang Pengerusi Majlis Presiden. Tanpa pelantikan ini, siapa yang akan memanggil mesyuarat?
Siapa yang akan mempengerusikan perbincangan tertinggi gabungan? Mustahil sebuah gabungan politik nasional dibiarkan lumpuh atas kekosongan teknikal yang boleh diselesaikan secara matang.
Atas realiti inilah menurut Marzuki bahawa dalam pertemuan pada 16 Januari di kediaman Muhyiddin muncul cadangan agar beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Presiden dengan persetujuan Presiden-presiden parti komponen lain.
Cadangan ini bukan soal menghidupkan semula jawatan lama tetapi menyusun semula fungsi agar Majlis Presiden dapat diperkasakan dan PN terus berfungsi sebagai gabungan yang berdisiplin dan tersusun.
Jawatan Pengerusi Majlis Eksekutif pula jelas terpulang kepada PAS sama ada Tuan Ibrahim Tuan Man, Dr Samsuri atau sesiapa yang dipersetujui malah Haji Hadi sendiri telah menyatakan beliau tidak mahu.
Jadi, di mana unsur “gila jawatan” yang dituduhkan?
Muhyiddin sudah pun berada dalam Majlis Presiden sebagai Presiden BERSATU. Pelantikan beliau sebagai Pengerusi Majlis Presiden hanya boleh berlaku dengan persetujuan majoriti Presiden-presiden lain. Jika tiga yang lain bersetuju, pelantikan berjalan dan jika tidak, ia tidak berlaku. Mudah, telus, dan berperlembagaan. Tiada paksaan, tiada rampasan kuasa.
Isu Pengerusi PN pula tidak berbangkit kerana ia telah menemui jalan buntu (deadlock) dalam kalangan parti anggota, ada yang setuju, ada yang tidak. Atas kefahaman inilah Muhyiddin berpandangan jawatan tersebut sudah tidak relevan buat masa ini.
Jika ada pihak mahu menghidupkannya semula, pintunya ialah perbincangan dan persetujuan bersama bukan tuduhan dan sensasi. Lebih-lebih lagi, Mesyuarat Luar Biasa PN untuk melantik Pengerusi PN tidak wajar diadakan tanpa kesepakatan awal pucuk pimpinan kerana dalam pertemuan BERSATU–PAS isu itu langsung tidak dibangkitkan. Melantik siapa dan dengan mandat apa?
Siapa gila kuasa sebenarnya?
Siapa menipu?
Siapa nak rebut kuasa?

