Melaka kembali digegarkan dengan kisah lama yang menuntut untuk dibuka kembali kerana permainan kotor di balik tabir kuasa, projek dan dendam politik yang disalurkan melalui fitnah bermotifkan aib mula menjadi bahan untuk ‘mencari makan’ dan ‘bahan ugutan’.
Menurut sumber di sekitar Tangga Batu, wujud satu kumpulan broker projek dikenali sebagai ‘Geng Makan Pasir’, yang dikatakan sudah lama bergerak di sekitar koridor kuasa negeri. Kumpulan ini dipercayai mempunyai pengaruh dalam urusan projek dan kontrak serta dikenali kerana keupayaan mereka “mengatur laluan” bagi pihak tertentu.
Modus mereka tidak rumit, apabila kepentingan mereka terganggu atau lobi gagal maka akan muncul naratif untuk menjatuhkan pihak yang dianggap batu penghalang. Bukan melalui saluran rasmi tetapi melalui serangan persepsi terancang dan mencipta aib peribadi.
Salah satu episod yang masih diperkatakan ialah isu sensasi “YB dan gambar lucah” yang suatu ketika dahulu tular secara senyap sebelum meledak di ruang maya. Menurut sumber, insiden itu bermula daripada gurauan dalam kumpulan WhatsApp, berpunca daripada pautan yang dikatakan ‘terklik’ secara tidak sengaja. Namun, daripada kejadian remeh itulah lahir naratif besar terancang seolah-olah seorang wakil rakyat digambarkan obses dengan bahan lucah.
Lebih menarik, sumber mendakwa pihak berkuasa pernah menahan individu yang dipercayai menjadi dalang kepada manipulasi naratif tersebut. Individu berkenaan dikatakan bermalam di lokap sebelum dibebaskan dengan jaminan, sama ada melalui saluran polis atau individu tertentu. Namun sehingga kini, status sebenar kes tersebut dilihat seakan “tergantung”, tanpa penjelasan lanjut kepada umum.
Adakah insiden itu sekadar kes terpencil atau sebahagian daripada corak lama yang berulang? Mengapa kes tersebut seolah-olah senyap? Dan lebih penting, adakah wujud unsur dendam peribadi yang dicetuskan apabila kepentingan tertentu tidak lagi diraikan dalam pentadbiran negeri?
Kini nama ‘Mr Pasir’ kembali disebut-sebut setelah beliau sendiri sedang bergelut dengan kes jenayah yang sukar untuk menang di mahkamah?
Bersambung…
