Walaupun beberapa hari telah berlalu sejak Majlis Pelancaran Pusat Khidmat Muafakat Nasional peringkat DUN diadakan, ketiadaan Mas Ermieyati dalam program tersebut terus menimbulkan persoalan yang belum terjawab. Sehingga kini, PAS Melaka masih belum memberikan sebarang penjelasan rasmi berhubung ketidakhadiran beliau, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai spekulasi politik di peringkat akar umbi.
Keadaan menjadi lebih mengundang tanda tanya apabila majlis yang dikatakan melibatkan PAS Melaka itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri daripada BERSATU. Kehadiran wakil parti komponen lain jelas menafikan anggapan bahawa program tersebut bersifat eksklusif kepada PAS semata-mata, sekali gus menguatkan persoalan mengapa Mas Ermieyati seolah-olah diketepikan daripada acara berkenaan.
Sehingga artikel ini ditulis, tiada sebarang kenyataan atau penjelasan daripada Ahli Parlimen Jasin berhubung isu ini. Lebih membingungkan, dalam suasana krisis susulan perletakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional peringkat negeri, Mas Ermieyati masih dilihat tidak berganjak daripada pendiriannya dan sekadar menyatakan bahawa PAS Melaka menyokong beliau.
Namun begitu, dakwaan sokongan tersebut masih belum disertai dengan sebarang kenyataan rasmi atau penjelasan terbuka daripada kepimpinan PAS Melaka, sama ada secara institusi mahupun peribadi. Kekosongan penjelasan ini bukan sahaja menjejaskan kejelasan naratif politik di peringkat negeri malah berpotensi mencetuskan persepsi bahawa wujud masalah dalaman yang sedang cuba diselindungkan daripada pengetahuan umum.
Lihat sahaja apa yang ada di dalam facebook milik PAS Melaka dan anda boleh memahami dengan mudah.

