Gelombang kegelisahan mula jelas kelihatan sebaik sahaja Konvensyen Khas Pemuda UMNO menghantar isyarat politik yang tegas dan tidak lagi berselindung. Reaksi pantas dan cemas daripada penyokong serta jentera siber PKR dan DAP membuktikan satu hakikat penting iaitu Kerajaan Perpaduan lebih rapuh daripada yang cuba digambarkan selama ini.
Ketakutan kehilangan kuasa, jawatan dan akses kepada kerajaan mula meresap ke dalam pemikiran pimpinan dan penyokong tegar Kerajaan Madani. Bukan kerana UMNO sudah membuat keputusan muktamad tetapi kerana UMNO akhirnya berani bercakap secara terbuka tentang harga politik yang perlu dibayar apabila maruah parti terus dikorbankan demi kestabilan palsu.
Di ruang media sosial, kemunculan ratusan akaun tanpa wajah sebenar dengan nama samaran dan naratif seragam bukan lagi satu kebetulan. Ia satu reaksi terancang. Laskar siber mula bekerja siang dan malam, membina naratif ketakutan kononnya negara akan kucar-kacir, ekonomi runtuh dan demokrasi musnah sekiranya UMNO-BN menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.
Hakikatnya, naratif ini tidak lahir daripada kebimbangan terhadap negara tetapi daripada ketakutan kehilangan kuasa. PKR dan DAP sedar, tanpa UMNO angka Parlimen tidak lagi stabil. Tanpa UMNO, Kerajaan Madani bukan sekadar goyah ia boleh tumbang. Mereka lupa Sarawak dan Sabah adalah rakan setia Barisan Nasional.
Lebih ironis, pihak yang selama ini lantang mencela UMNO sebagai “liabiliti” kini menjadi pihak paling kuat merayu agar UMNO terus kekal. Ini bukan soal prinsip, ini soal matematik kuasa. UMNO yang sebelum ini dijadikan ‘punching bag’ politik, kini menjadi tiang seri kelangsungan kerajaan.
Konvensyen Khas Pemuda UMNO telah membuka pekung yang lama ditutup. Ia memperlihatkan bahawa kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bukan hubungan setara tetapi hubungan yang penuh ketidakseimbangan apabila UMNO diminta berkorban, berdiam dan akur, sementara pihak lain terus mengaut manfaat kuasa.
Apabila Pemuda UMNO bersuara, ia bukan sekadar jeritan emosi anak muda. Ia adalah refleksi denyut akar umbi yang semakin muak dengan realiti politik yang menekan parti sendiri demi menyelamatkan pihak lain dan inilah yang paling menakutkan PKR dan DAP, bukan sekadar keputusan politik tetapi kebangkitan keberanian UMNO untuk menentukan haluannya sendiri.
Serangan naratif di media sosial adalah tanda panik, bukan keyakinan. Jika Kerajaan Madani benar-benar kukuh, ia tidak memerlukan tentera siber untuk menakut-nakutkan UMNO. Jika kerajaan ini benar-benar berfungsi untuk rakyat, ia tidak akan bergantung kepada ugutan krisis dan mimpi ngeri politik untuk mengekalkan sokongan.
Kini persoalannya bukan lagi sama ada UMNO patut kekal atau keluar. Persoalannya ialah sampai bila UMNO harus terus menjadi sandaran kerajaan yang tidak pernah benar-benar menghormatinya?
Konvensyen Khas Pemuda UMNO telah mengubah lanskap pemerhatian rakyat dan buat PKR serta DAP, kegelisahan ini baru bermula.
