ADUN Sungai Udang Keliru: BERSATU Bukan Parti Melayu, Tetapi Produk Pengkhianatan Terhadap UMNO

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan ADUN BERSATU Sungai Udang yang mencadangkan agar Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh meletakkan jawatan sebagai Exco Negeri Melaka bukan sahaja bersifat dangkal, malah memperlihatkan kematangan politik yang cetek seumpama reaksi kanak-kanak yang merajuk apabila tidak dipedulikan. Ia gagal menjawab isu pokok, sebaliknya cuba mengalihkan perbincangan kepada retorik penyatuan Melayu yang bersifat palsu dan hipokrit versi BERSATU.


Lebih memalukan, hujah yang dibina ADUN tersebut berasaskan premis songsang, seolah-olah BERSATU ialah parti Melayu tulen yang setara dengan UMNO dan PAS. Hakikatnya, BERSATU bukan lahir daripada perjuangan panjang orang Melayu, sebaliknya terbentuk daripada kumpulan elit politik yang mengkhianati UMNO, sebuah parti yang membina kekuatan Melayu selama lebih enam dekad demi kelangsungan kuasa politik Melayu.


BERSATU tidak lahir kerana UMNO gagal memperjuangkan Melayu. BERSATU lahir kerana sebahagian pimpinan UMNO ketika itu gagal menerima realiti kalah dan hilang kuasa. Maka dibentuklah sebuah parti baharu, bukan atas asas ideologi Melayu yang jelas tetapi atas dendam politik dan kepentingan peribadi. Menyamakan BERSATU dengan UMNO dalam wacana “penyatuan Melayu” adalah satu penipuan dan putar belit sejarah yang disengajakan.


Datuk Dr. Akmal tidak pernah menolak penyatuan orang Melayu yang beliau tolak ialah penyatuan palsu yang menjadikan pengkhianatan sebagai prasyarat. Penyatuan Melayu yang tulen mesti berasaskan kejujuran perjuangan, konsistensi prinsip dan rekod Sejarah bukan sekadar angka kerusi dan rundingan kuasa.

Persoalan yang gagal dijawab oleh ADUN BERSATU Sungai Udang ialah ini, mengapa Melayu harus bersatu dengan parti yang lahir daripada tikaman dari belakang? Bagaimana mungkin penyatuan dibina atas fondasi pengkhianatan, oportunisme dan lompat parti?

Cubaan menyeret sejarah penolakan Presiden PAS untuk bersama UMNO tanpa BERSATU hanyalah helah untuk mengaburi kegagalan BERSATU sendiri membina legitimasi. PAS memilih BERSATU pada ketika itu atas realiti politik semasa bukan kerana BERSATU lebih tulen atau lebih kuat memperjuangkan Melayu. Sejarah itu tidak mengabsahkan BERSATU sebagai parti teras Melayu, ia sekadar membuktikan PAS membuat pilihan taktikal, bukan ideologikal.

Cadangan supaya Dr. Akmal meletakkan jawatan Exco dan menyertai blok pembangkang di Melaka pula mendedahkan niat sebenar BERSATU, bukan mahu menyatukan Melayu tetapi mahu menambah angka untuk kelangsungan politik mereka yang semakin terhimpit. Jika benar BERSATU yakin dengan sokongan rakyat, mereka tidak perlu mengajak orang lain meninggalkan mandat dan tanggungjawab.

Hakikatnya mudah dan jelas ialah UMNO merupakan parti Melayu yang dibina oleh perjuangan, pengorbanan dan darah keringat. PAS ialah melabelkan diri mereka parti dan BERSATU pula ialah parti serpihan hasil kekecewaan elit politik yang gagal mempertahankan amanah rakyat.

Penyatuan Melayu tidak memerlukan parti yang lahir daripada pengkhianatan. Ia memerlukan keberanian membetulkan kesilapan, bukan menormalisasikannya. Menyatukan Melayu dengan BERSATU sama seperti membina rumah di atas pasir, kelihatan indah dari jauh tetapi rapuh dari dalam.

Jika BERSATU benar-benar ikhlas mahu bercakap soal penyatuan Melayu, langkah pertama yang perlu dibuat ialah mengakui asal-usulnya sendiri. Tanpa kejujuran itu, semua seruan penyatuan hanyalah slogan kosong untuk menyelamatkan parti bukan maruah bangsa.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)