Kenyataan terbaharu Abdul Hadi Awang menerusi kolum Minda Presiden PAS yang cuba menafikan bahawa PAS adalah “penunggang Islam” bukan sahaja mengejutkan malah memperlihatkan jurang besar antara retorik dan realiti politik yang dipraktikkan parti itu sejak sekian lama. Penafian tersebut kedengaran seolah benar tetapi gagal apabila melihat kepada rekod, tindakan dan strategi politik PAS sendiri selama ini.
Hakikatnya, Islam sering dijadikan perisai mutlak oleh PAS setiap kali berdepan kritikan. Bila ditegur soal kegagalan pentadbiran, isu integrity atau kerjasama politik yang bercanggah dengan prinsip sebelum ini, jawapan PAS hampir selalu sama iaitu lawan dianggap memusuhi Islam?
Kritikan politik ditukar menjadi dosa agama. Perbezaan pandangan ditafsir sebagai penentangan terhadap perjuangan Islam. Inilah corak PAS selama ini, menunggang agama untuk menutup kelemahan politik.
Lebih ketara, PAS gemar mengangkat slogan “Islam terancam” setiap kali sokongan rakyat merosot atau apabila keputusan politiknya dipersoalkan. Namun dalam praktik, prinsip Islam itu sendiri sering fleksibel mengikut keperluan kuasa. Kawan boleh menjadi musuh, musuh boleh menjadi sahabat, semuanya boleh “dihalalkan” dengan tafsiran politik bukan prinsip.
Jika PAS benar-benar tidak menunggang Islam, mengapa sentimen agama sering menjadi senjata utama dalam kempen, ceramah dan media sosial?
Mengapa lawan politik dilabel sekular, liberal atau anti-Islam sedangkan perbahasan sebenar berkisar soal tadbir urus, ekonomi dan keadilan sosial? Islam dijadikan garis pemisah bukan sebagai rahmat yang menyatukan.
Kenyataan Hadi Awang juga mengabaikan satu realiti pahit iaitu Islam tidak pernah memerlukan PAS untuk dipertahankan tetapi PAS sering memerlukan Islam untuk mempertahankan kedudukannya. Islam kekal mulia tanpa parti politik tetapi parti politik menjadi rapuh apabila agama tidak lagi dipercayai sebagai agenda tulen, sebaliknya alat politik.
Lebih membimbangkan, pendekatan ini telah meletakkan Islam dalam kedudukan berisiko apabila kegagalan pentadbiran PAS, konflik dalaman dan tidak konsisten akhirnya menjadi persepsi sebagai kegagalan Islam, walhal yang gagal adalah politik manusia. Inilah kerosakan terbesar apabila agama dijadikan perisai kuasa.
Maka kenyataan bahawa PAS bukan penunggang Islam bukan sahaja tidak berpijak di bumi nyata malah cuba memutihkan satu corak politik yang sudah lama dibaca rakyat. Islam tidak boleh dijadikan alat untuk memenangi undi, menutup skandal atau menolak kritikan.
Soalnya kini bukan sama ada PAS menunggang Islam atau tidak.
Soalnya ialah sampai bila Islam mahu terus dijadikan tunggangan politik dan sampai bila rakyat diminta percaya bahawa setiap keputusan politik PAS adalah keputusan agama?
Di sinilah kenyataan Presiden PAS itu gagal bukan dari sudut bahasa tetapi dari sudut kebenaran.
