Satu pendedahan yang tular di Facebook melalui akaun “Suara Rakyat” mencetuskan tandatanya tentang dasar pemilikan dan pemberian tanah di Kelantan khususnya apabila ia menyentuh sensitiviti keadilan kepada rakyat tempatan.
Pendedahan tersebut mendakwa seorang tokoh korporat, Tan Sri Sow CC, melalui DPS Group of Companies telah berjaya memperoleh kira-kira 5,000 ekar tanah ladang di Dabong, Kelantan selain 13,500 ekar tanah di Sokor, Tanah Merah, kawasan yang disebut berpotensi tinggi mengandungi galian bernilai seperti emas, bijih besi dan nadir bumi.
Apa yang membangkitkan kemarahan dan rasa terpinggir dalam kalangan rakyat ialah perbandingan yang dibuat oleh Suara Rakyat sendiri dengan rakyat Kelantan berbangsa Melayu, yang lahir, membesar dan menetap di negeri ini bertahun-tahun memohon tanah namun gagal sedangkan pihak luar dilaporkan mampu memperoleh puluhan ribu ekar dalam satu masa.
Persepsi ini, sama ada benar sepenuhnya atau tidak sudah cukup untuk menggoncang keyakinan rakyat terhadap keadilan pentadbiran tanah negeri.
Sindiran pedas yang tular, “mungkin perlu tukar nama kepada Cina jika mahu dapat tanah ribu-ribu ekar”. Walaupun bersifat emosional, sebenarnya lahir daripada kekecewaan rakyat terhadap sistem yang dilihat berat sebelah dan tidak telus. Ini bukan isu perkauman sempit tetapi isu keutamaan kerajaan negeri, siapakah yang lebih dibela? rakyat sendiri atau syarikat besar dari luar Kelantan?
Kerajaan PAS Kelantan selama ini sering memposisikan diri sebagai pentadbiran yang kononnya menjaga kepentingan Melayu-Islam dan rakyat bawahan. Namun dakwaan ini adalah serius.
Apakah mekanisme kelulusan tanah seluas itu?
Apakah status pemilikan sebenar samda pajakan, konsesi, atau pemilikan mutlak?
Apakah faedah langsung kepada rakyat tempatan, khususnya anak Kelantan?
Paling penting, mengapa rakyat sendiri sukar mendapat tanah walaupun berskala kecil?
Lebih membimbangkan, pendedahan ini melibatkan kawasan yang dikatakan berpotensi kaya dengan sumber asli bernilai tinggi. Jika benar tanah tersebut berkait dengan galian strategik, maka isu ini bukan lagi sekadar pertanian atau pelaburan biasa tetapi melibatkan kepentingan jangka panjang negeri dan generasi akan datang
Kerajaan negeri tidak boleh berdiam diri dan berharap isu ini tenggelam dalam kitaran media sosial. Sikap membisu hanya akan menguatkan persepsi bahawa wujud layanan istimewa kepada pihak tertentu atau ada skandal rasuah termasuk salah guna kuasa?

