Perikatan Nasional sekali lagi mendedahkan wajah sebenar krisis kepimpinannya apabila PAS secara terbuka menafikan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai Pengerusi PN. Penafian itu bukan sekadar teknikal, sebaliknya isyarat jelas bahawa PAS belum dan mungkin tidak akan menerima Muhyiddin kembali sebagai ketua mutlak gabungan tersebut.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa sehingga kini tiada jemputan mesyuarat rasmi PN diterima, apatah lagi perbincangan muktamad mengenai jawatan Pengerusi. Kenyataan ini sekali gus mematahkan naratif bahawa isu kepimpinan PN telah selesai. Hakikatnya, PN masih tergantung tanpa arah jelas walaupun PRU16 semakin hampir.
Lebih signifikan, Abdul Hadi secara tegas mengulangi pendirian PAS bahawa resolusi Muktamar PAS menetapkan calon Pengerusi PN mestilah daripada PAS. Ini bukan pendirian baharu tetapi keputusan rasmi parti. Maka dakwaan Muhyiddin sudah “dipersetujui” untuk kekal hanyalah andaian politik yang tidak bersandar kepada realiti dalaman PN.
Cubaan melunakkan keadaan dengan alasan “isu pengurusan dan pentadbiran” gagal menutup hakikat sebenar, PAS dan Bersatu masih berebut kuasa tertinggi.
Jika benar tiada perbezaan pendirian, mengapa sehingga kini jawatan paling penting dalam gabungan pembangkang itu masih tidak dimuktamadkan?
Kemasukan MIC pula cuba dipersembahkan sebagai isu remeh, namun laporan media menunjukkan sebaliknya. Penyertaan MIC hanya mengukuhkan kedudukan Bersatu, sekali gus melemahkan peluang PAS untuk mengangkat calon sendiri sebagai Pengerusi PN. Ini menjadikan pendirian PAS semakin janggal untuk bertegas menuntut jawatan tetapi terikat dalam gabungan yang tidak memihak kepadanya.
Ironinya, PAS belum menamakan calon sendiri walaupun lantang menuntut kerusi Pengerusi. Keadaan ini menguatkan persepsi bahawa PAS mahu jawatan tetapi belum berani menguji kekuatan sebenar dalam PN. Sementara itu, Bersatu terus bergerak seolah-olah jawatan itu milik mereka kembali.
