Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tiba-tiba tampil dengan kenyataan retorik iaitu mahu mengembalikan Islam sebagai asas utama pentadbiran negeri. Kedengarannya seperti biasa, Islamik, nampak ‘fresh’ dan ideal. Namun persoalannya rakyat Kedah hari ini mudah sahaja, di mana hasilnya?
Ketika pentadbiran negeri sibuk melaungkan slogan moral dan agama, projek-projek yang dijanjikan kepada rakyat Kedah pula entah ke mana.
Pelaburan besar yang diwar-warkan sebelum ini masih kabur pelaksanaannya, peluang pekerjaan tidak berkembang seperti diuar-uarkan dan pertumbuhan ekonomi Kedah kekal perlahan malah lebih teruk berbanding era pentadbiran Barisan Nasional yang sering ditohmah gagal.
Lebih sinis, imej kepimpinan negeri hari ini sering dikaitkan dengan perkara remeh dan sensasi. Isu “kaki karaoke”, kenyataan beremosi, sindiran tidak bertempat dan polemik media sosial lebih mendominasi tajuk berita berbanding pelan ekonomi sebenar untuk rakyat.
Jika Islam benar-benar mahu dijadikan asas pentadbiran, bukankah nilai amanah, kecekapan, disiplin dan keberhasilan sepatutnya mendahului hiburan dan sensasi?
Fakta tidak boleh ditutup dengan slogan. Kedah masih antara negeri dengan pendapatan per kapita terendah, peluang pekerjaan bernilai tinggi sangat terhad dan ramai anak muda terus berhijrah ke Pulau Pinang atau Lembah Klang.
Pelaburan asing tidak mengalir deras seperti dijanjikan, zon industri tidak berkembang agresif dan kesejahteraan ekonomi rakyat bawahan kekal rapuh.
Ironinya, ketika BN mentadbir Kedah dahulu, negeri ini sekurang-kurangnya menunjukkan kestabilan pentadbiran, hubungan baik dengan kerajaan persekutuan dan hala tuju pembangunan yang jelas. Hari ini, Kedah lebih dikenali kerana konflik, retorik dan persembahan politik, bukan kerana kejayaan ekonomi.
Islam bukan sekadar slogan di pentas ceramah atau hiasan ayat suci dalam ucapan rasmi. Islam adalah tadbir urus yang berkesan, janji yang ditunaikan dan hasil yang dirasai rakyat. Jika projek terus tergantung, ekonomi terus merosot dan kepimpinan lebih sibuk mencipta persepsi berbanding menyelesaikan masalah maka dakwaan mahu “mengislamkan” pentadbiran hanya tinggal retorik kosong.
Rakyat Kedah tidak menolak Islam sebagai asas pentadbiran tapi yang mereka tolak ialah kegagalan yang cuba diwarnai dengan agama. Islam tidak pernah mengajar pemimpin berhibur ketika rakyat bergelut dan tidak pernah menghalalkan janji yang dibiarkan mati begitu sahaja.
