Naratif “pendedahan” yang dimainkan di media sosial akhirnya berdepan realiti undang-undang. Seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini tampil mempertahankan maruah dan integriti institusi ketenteraan selepas menjadi sasaran dakwaan berat oleh aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.
Mejar Jeneral Faridhulathroth Hashim mengesahkan beliau telah membuat laporan polis dan memulakan tindakan undang-undang susulan beberapa hantaran Facebook Chegubard sejak hujung Disember lalu yang disifatkan sebagai tidak benar, berunsur fitnah dan berniat mencemarkan reputasi.
Tuduhan yang dilemparkan bukan kecil kerana melibatkan dakwaan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dana awam malah kononnya wujud operasi sulit serta ‘rumah selamat’ untuk menyimpan wang tunai.
Dalam satu kenyataan tegas, Faridhulathroth menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan tersebut dan menegaskan beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Penolong Ketua Staf (Risikan) mengikut lunas undang-undang dengan penuh integriti dan profesionalisme. Penafian ini sekali gus menolak cubaan membina persepsi liar terhadap kepimpinan dan operasi ATM melalui naratif media sosial yang tidak disokong bukti sah.
Beliau turut memaklumkan bahawa peguamnya akan mengeluarkan surat tuntutan (Letter of Demand) kepada Chegubard sebelum tindakan mahkamah diambil sambil menegaskan bahawa isu ini kini berada dalam siasatan polis.
Orang ramai juga diingatkan agar tidak menjadi ejen penyebaran fitnah dengan mengulang siar dakwaan yang belum disahkan apatah lagi melibatkan keselamatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara.
Terdahulu, Chegubard memuat naik beberapa hantaran yang cuba mengaitkan pegawai kanan tentera dengan pelbagai dakwaan salah laku berkaitan perolehan dan risikan. Namun kali ini, ‘pendedahan’ yang dimainkan tidak dibiarkan berlalu sewenangnya. Ia dijawab bukan dengan kenyataan emosional tetapi melalui saluran undang-undang bahawa tuduhan tanpa asas tidak boleh terus dijadikan modal politik atau kandungan sensasi.
