Laksamana Sabri Zali Heret Chegubard Ke Mahkamah

Melaka Digest
By -
0

Naratif ‘pendedahan’ yang dimainkan berbulan-bulan di media sosial akhirnya dibawa ke Mahkamah Tinggi.


Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali secara rasmi memfailkan saman fitnah terhadap aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard, dengan mengemukakan 18 tuntutan serius berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang dilemparkan sejak Julai 2024 hingga Disember lalu.

Sabri, selaku plaintif, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Syed Amir Naqib & Co (SANCO) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini dengan Badrul Hisham Shaharin, 47, yang juga Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson dinamakan sebagai defendan

Peguam plaintif, Muhamad Firdaus Jumaludin, menjelaskan antara tuntutan utama ialah ganti rugi terhadap defendan atas kerosakan reputasi serius yang dialami anak guamnya akibat tohmahan dan cemuhan berterusan di media sosial. Walaupun jumlah ganti rugi belum dinyatakan, beliau menegaskan impaknya terhadap maruah dan kredibiliti profesional Sabri adalah besar dan berpanjangan.

Selain itu, pihak plaintif turut memohon perintah injunksi bagi mengarahkan semua kenyataan berunsur fitnah dikeluarkan serta-merta. Menurut peguam, tindakan undang-undang ini diteruskan kerana defendan gagal memberi sebarang maklum balas terhadap surat tuntutan yang menuntut penarikan balik kenyataan fitnah berkenaan.

Peguam itu menegaskan, kenyataan yang diterbitkan defendan bukan sahaja tidak benar dan mengelirukan malah disebarkan secara agresif sehingga mencetuskan persepsi awam bahawa Sabri adalah pegawai kanan tentera yang korup, tidak amanah dan tidak layak memegang jawatan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Fitnah itu, katanya, diperburuk lagi dengan tohmahan liar di ruangan komen menjadikan kerosakan reputasi sukar dipulihkan hanya melalui penjelasan awam.

Menurut pernyataan tuntutan, defendan didakwa menerbitkan pelbagai kenyataan bertulis, visual dan rakaman video secara berulang di media sosial, menuduh plaintif terlibat dalam rasuah, salah guna kuasa serta tidak berintegriti tanpa sebarang keputusan mahkamah, pendakwaan atau pengesahan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mana-mana pihak berautoriti.

Lebih membimbangkan, defendan sendiri didakwa mengakui bahawa tuduhan tersebut bersumberkan dokumen daripada pihak tidak dikenali dan tidak melalui sebarang proses pengesahan atau verifikasi yang sah. Ini sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang motif sebenar ‘pendedahan’ yang dimainkan.

Plaintif turut mendakwa defendan secara terbuka mengakui niat untuk menggagalkan pelantikannya sebagai Panglima Tentera Laut, satu pengakuan yang menurut pihak plaintif membuktikan penerbitan dakwaan tersebut dibuat dengan niat jahat, bukan atas kepentingan awam.

Akibat penyiaran berterusan itu, Sabri menegaskan reputasi, maruah, kredibiliti profesional serta integritinya sebagai pegawai kanan tentera telah terjejas teruk. Sehubungan itu, beliau menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa semua kenyataan berkenaan adalah fitnah, perintah untuk menghentikan penerbitan lanjut serta ganti rugi setimpal atas penderitaan dan kerosakan reputasi yang dialami.

Untuk rekod, pada 2 Januari lalu Sabri menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. Namun, pada 6 Januari, Chegubard pula menggesa supaya Sabri direhatkan sementara bagi memberi laluan kepada siasatan, dengan alasan mengelakkan persepsi, pengaruh atau gangguan terhadap proses siasatan.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)