Pengerusi PN Mesti Dari Presiden Parti: Hadi, Dominic Atau P.Punithan?

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mesti datang daripada kalangan presiden parti komponen bukan sekadar pendirian Bersatu tetapi cerminan realiti politik gabungan itu sendiri. Dalam struktur PN yang bertunjangkan kuasa parti, pengerusi tanpa jawatan presiden hanyalah simbol tanpa kuasa sebenar dan ianya sekadar boneka untuk mengabsahkan keputusan pihak lain.


Hakikatnya mudah. Pengerusi PN memerlukan autoriti politik, mandat dalaman dan kuasa rundingan. Semua ini hanya datang bersama jawatan presiden parti. Tanpa kedudukan itu, pengerusi tidak memiliki kawalan ke atas jentera, tidak mampu mengikat disiplin parti komponen dan akhirnya gagal membuat keputusan yang dihormati. Kepimpinan tanpa kuasa bukan kepimpinan tapi ia pentadbiran kosmetik.

Muhyiddin mengakui dilema yang wujud selepas beliau melepaskan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu. Daripada empat presiden parti dalam PN, Muhyiddin (Bersatu), Abdul Hadi Awang (PAS), Dominic Lau (Gerakan) dan P. Punithan (MIPP) maka hanya mereka inilah yang mempunyai mandat sah untuk memimpin gabungan. Namun apabila Presiden PAS menolak atas faktor kesihatan dan pilihan lain tidak membawa ‘berat politik’ yang setara, PN berdepan kekosongan kuasa yang nyata.

Di sinilah punca masalah sebenar PN hari ini. Gabungan ini terlalu bergantung kepada figura presiden dan gagal membina mekanisme kepimpinan kolektif yang berfungsi. Maka, idea melantik pengerusi daripada kalangan bukan presiden bukan penyelesaian sebaliknya membuka ruang kepada kepimpinan bayangan di mana keputusan sebenar dibuat di luar struktur rasmi.

Soalan Muhyiddin “bolehkah anda beri satu penyelesaian?”, sebenarnya mencabar PN untuk memilih antara dua jalan sama ada mempertahankan prinsip kuasa sebenar dengan pengerusi dari kalangan presiden atau mencipta jawatan boneka yang hanya mengisi kekosongan tanpa menyelesaikan krisis.

Ada benarnya kenyataan dari menantu Hadi Awang di sini berhubung kesan jika dilantik Samsuri memimpin PN.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)