Surat rasmi Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bertarikh 10 Januari 2026 sebenarnya membawa mesej politik yang jauh lebih besar daripada sekadar urusan pentadbiran parti. Di sebalik bahasa formal dan berlapik, tarikh surat itu sendiri membongkar satu hakikat penting iaitu usaha damai dalam Perikatan Nasional telah menemui jalan buntu.
Persoalan utama yang timbul ialah mengapa PAS hanya menggerakkan langkah rasmi selepas 10 hari peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026. Dalam amalan politik kebiasaan, peletakan jawatan seorang ketua gabungan besar lazimnya disusuli mesyuarat segera, rundingan terbuka dan usaha memujuk secara pantas. Namun kali ini, PN seolah-olah “senyap” hampir sepuluh hari, satu tempoh yang terlalu lama untuk dianggap kebetulan.
Kesenyapan itu memberi isyarat jelas bahawa sepanjang tempoh berkenaan, rundingan secara tertutup sedang berlangsung. Usaha memujuk, tawar-menawar dan mencari titik kompromi dipercayai telah dilakukan, namun gagal mencapai kata sepakat. Sama ada PAS tidak berjaya memujuk Muhyiddin untuk kembali atau Muhyiddin tidak memperoleh jaminan yang diharapkannya, akhirnya PAS memilih untuk menutup episod itu dan bergerak ke fasa seterusnya.
Perkembangan ini tidak boleh dipisahkan daripada krisis Menteri Besar Perlis sebelum ini yang telah meretakkan kepercayaan antara PAS dan BERSATU. Krisis tersebut menjadi latar penting yang mempercepatkan keretakan dalaman PN. Sepatutnya tempoh 10 hari itu digunakan untuk “menyejukkan keadaan”, namun kewujudan surat bertarikh 10 Januari membuktikan bahawa tiada jalan damai berjaya dicapai. PAS tidak mahu terus menunggu, manakala BERSATU pula gagal meyakinkan rakan gabungannya.
Nada dalam surat yang menyebut tempoh peletakan jawatan telah melebihi 10 hari mencerminkan kehilangan kesabaran PAS. Lebih ketara apabila PAS secara terbuka mendesak agar mesyuarat diadakan bagi melantik Pengerusi PN yang baharu. Jika rundingan benar-benar berjaya yang muncul sepatutnya sidang media bersama atau kenyataan konsensus bukan surat yang membawa isyarat penukaran kepimpinan. Ini menandakan pintu rundingan sudah tertutup dan tiada lagi ruang untuk pusingan U.
Hakikatnya, surat 10 Januari ini boleh dianggap sebagai penamat rasmi usaha damai dalam PN pasca krisis Perlis. Ia bukan sekadar dokumen pentadbiran tetapi simbol perubahan fasa berakhirnya era kepimpinan lama dan bermulanya bab baharu yang sarat dengan perpecahan serta ketidaktentuan. Dalam jangka terdekat, retakan ini dilihat sukar dipulihkan malah berpotensi membentuk semula landskap politik gabungan pembangkang negara.
