Suasana politik di Perlis kembali kecoh apabila seorang individu bernama Athirah al-Junaidah yang mendakwa berasal dari Taman Bersatu, Arau, tampil membuat pendedahan serius melalui platform TikTok menggunakan akaun bernama “Abe Mat Kilau”. Pendedahan tersebut menyentuh dakwaan salah laku seksual terhadap kanak-kanak yang didakwa melibatkan seorang pegawai kepada bekas Menteri Besar Perlis.
Menurut naratif yang dikongsikan, Athirah mendakwa penolakan terhadap bekas Menteri Besar oleh pelbagai pihak sebelum ini bukan sekadar isu politik semata-mata tetapi turut dikaitkan dengan dakwaan salah laku serius melibatkan individu dalam lingkungan pentadbirannya. Dakwaan itu, katanya disembunyikan dan ditutup rapat namun menjadi pengetahuan umum dalam kalangan tertentu, termasuk sebahagian pimpinan parti dan pihak istana atas faktor-faktor berbeza.
Athirah mendakwa antara individu yang terlibat ialah seorang pegawai terdekat bekas Menteri Besar yang diperkenalkan sebagai “Mr. AJ”, seorang alumni universiti di Perlis. Individu ini didakwa terlibat dalam aktiviti pengendalian kelas tuisyen berhampiran sekolah agama, khususnya melibatkan pelajar perempuan dari sebuah institusi pendidikan Islam setempat.
Menurut dakwaan itu lagi, aktiviti tuisyen berkenaan bukan sekadar melibatkan pengajaran akademik tetapi turut diselubungi perlakuan tidak bermoral yang bersifat paksaan. Athirah mendakwa sekurang-kurangnya lima mangsa terlibat yang kini sudah berusia lebih 13 tahun dan bersekolah menengah dengan sebahagian daripada mereka dilaporkan mengalami trauma.
Lebih membimbangkan, Athirah mendakwa keluarga mangsa mengetahui kejadian tersebut namun memilih untuk berdiam diri kerana perasaan malu dan takut termasuk kebimbangan akibat dakwaan kaitan individu terbabit dengan “orang besar”. Malah, menurutnya, pernah ada usaha membawa perkara itu ke balai polis, namun tidak diteruskan atas sebab-sebab tersebut.
Pendedahan itu turut menyebut bahawa isu berkenaan pernah dibawa kepada kepimpinan PAS negeri, termasuk pihak yang bertanggungjawab dalam aspek undang-undang parti. Athirah mendakwa terdapat bukti rakaman pertemuan melibatkan ibu bapa mangsa dan pihak berkaitan, justeru menafikan dakwaan bahawa pimpinan tertentu tidak mengetahui kes ini.
Dalam kenyataannya, Athirah menegaskan bahawa sikap berdiam diri hanya akan membolehkan individu yang didakwa terus bebas dan berulang melakukan perbuatan sama. Malah, beliau mendakwa individu berkenaan kini masih aktif mengendalikan tuisyen di lokasi baharu selepas “dihalau” dari tempat lama.
Pendedahan ini juga dikaitkan oleh Athirah sebagai antara faktor mengapa bekas Menteri Besar perlu digantikan, namun beliau mendakwa perkara itu tidak ditangani walaupun wujud titah diraja berkaitan isu kepimpinan negeri sebelum ini.
Walau bagaimanapun, semua dakwaan ini masih merupakan kenyataan sepihak daripada individu berkenaan dan belum disahkan oleh pihak berkuasa atau melalui proses perundangan. Namun, sifat dakwaan yang melibatkan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak menjadikan isu ini terlalu serius untuk dipandang ringan.
Soalan yang kini berlegar dalam kalangan masyarakat ialah siapakah sebenarnya “Mr. AJ” yang dimaksudkan dan mengapa dakwaan sebesar ini masih belum disiasat secara terbuka dan telus? Jawapan kepada persoalan ini bukan sahaja penting untuk keadilan mangsa, tetapi juga untuk memastikan kepercayaan awam terhadap institusi dan kepimpinan negeri tidak terus terhakis.
Penjelasan dari Athirah al-Junaidah di SINI
