Sultan Selangor Mengusulkan Wakil Rakyat Tinggal Di Sebelah Ladang Babi

Melaka Digest
By -
0

Nada tegas telah dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, apabila Baginda mencadangkan supaya wakil-wakil rakyat, khususnya di Selangor, menetap bersebelahan kawasan ladang ternakan babi agar mereka sendiri dapat merasai kesan pencemaran yang sekian lama ditanggung oleh penduduk setempat.


Cadangan itu bukan bersifat sinis semata-mata sebaliknya satu teguran keras terhadap kegagalan tadbir urus dan sikap lepas tangan pihak tertentu yang membuat keputusan dari bilik berhawa dingin tanpa pernah merasai bau busuk, pencemaran sungai dan serangan lalat yang menjadi rutin harian rakyat di lapangan.

Baginda menzahirkan rasa dukacita dan ketidaksetujuan terhadap keputusan membenarkan operasi ladang ternakan babi di kawasan Tanjung Sepat sehingga pemindahannya ke Bukit Tagar hanya dijadualkan pada tahun 2030. Tegas Baginda, isu ini bukan masalah baharu, sebaliknya telah berlarutan lebih sedekad, dan amat tidak wajar dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar serta berpanjangan.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa Kuala Langat didiami majoriti penduduk Melayu yang sejak sekian lama terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa akibat bau melampau, pencemaran sumber air serta ancaman kesihatan berpunca daripada aktiviti penternakan tersebut. Penderitaan ini, menurut Baginda, tidak boleh lagi dipandang ringan atau ditangguhkan atas alasan perancangan jangka panjang semata-mata.

Baginda mempersoalkan kemungkinan wujudnya konflik kepentingan atau kelemahan serius dalam tadbir urus berkaitan kelulusan dan perancangan projek penternakan babi berskala besar itu. Sultan Selangor menegaskan bahawa pembangunan ekonomi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan kesejahteraan rakyat, alam sekitar serta keharmonian sosial.

Kenyataan ini jelas membawa mesej besar, rakyat tidak boleh terus dijadikan bahan eksperimen dasar, manakala penderitaan mereka tidak boleh dibayar dengan janji pemindahan yang terlalu jauh jaraknya. Jika keputusan dibuat tanpa empati, maka saranan Baginda supaya wakil rakyat “merasai sendiri” kesannya adalah satu peringatan keras bahawa kuasa datang bersama tanggungjawab bukan keistimewaan.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)