Isu rakaman audio yang didakwa “mirip” suara Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kini dilihat bukan lagi sekadar polemik sebaliknya mula menyerupai serangan politik terancang oleh pihak-pihak tertentu yang gagal di mata rakyat Melaka.
Sama ada kumpulan bersifat “broker politik” yang diketuai oleh Chegu Bard, mahupun pembangkang Melaka yang suka bertenggek menumpang isu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Mohd Yadzil Yaakub dan dilihat suam-suam kuku dalam memperjuangkan isu kebajikan rakyat Melaka, semua pihak ini seolah-olah memainkan skrip sama, menunggang isu audio bagi mendesak Ketua Menteri tampil “membersihkan” nama, walaupun tuduhan tersebut masih bersandar kepada dakwaan individu semata-mata.
Naratif ini menjadi semakin janggal apabila ia berpaksikan pendedahan seorang individu bernama Mansur Bhai yang secara terbuka mengaku menerima RM100,000 kononnya daripada Datuk Seri Rauf sebagai “upah” untuk menjatuhkan Ali Pasir. Lebih menghairankan, Mansur Bhai sendiri tanpa rasa bersalah mengaku wang tersebut telah habis dibelanjakan sepenuhnya.
Persoalan besar timbul, di mana bukti? Tiada rekod transaksi, tiada jejak aliran wang dan tiada dokumen sokongan dikemukakan. Malah, dalam rakaman audio yang didakwa mirip suara Ketua Menteri itu sendiri, tidak pernah disebut sebarang unsur ‘wang upah’ sebagaimana yang didakwa.
Lebih mencurigakan, selepas sekian lama menghilang apabila isu ini mula didedahkan, Mansur Bhai tiba-tiba muncul semula dengan “cerita baharu” dengan menambah jumlah wang dan mengakui wang tersebut sudah digunakan. Timbul pula persoalan adakah kemunculan semula ini berlaku kerana wang sudah licin dan memerlukan naratif baharu untuk menyelamatkan diri?
Paling tidak masuk akal, Mansur Bhai cuba mengaitkan penahanan Ali Pasir di lokap selama 5 hari dengan cerita yang dijaja ke hulu ke hilir. Sebenarnya Ali Pasir ditahan oleh SPRM dan didakwa atas kes rasuah projek bukan kerana konspirasi politik sebagaimana cuba digambarkan.
Fakta mahkamah menunjukkan Ali Pasir telah didakwa dengan 20 pertuduhan rasuah, satu realiti yang tidak boleh dipadam dengan naratif bersifat emosi dan spekulatif.
Cubaan mengheret Ketua Menteri Melaka ke dalam isu ini melalui rakaman audio “mirip” tanpa pengesahan forensik, tanpa bukti kewangan dan tanpa sandaran undang-undang adalah satu tindakan berbahaya. Ia bukan sahaja mencemarkan reputasi individu, malah merosakkan keyakinan rakyat terhadap institusi dan proses keadilan.
Persoalan utama kini bukan sekadar soal audio, tetapi niat di sebalik penceritaan yang dibina. Adakah ini satu usaha terancang untuk mengalihkan perhatian daripada kes rasuah sebenar? Atau lebih membimbangkan, adakah ia cubaan halus untuk menyelamatkan Ali Pasir daripada pertuduhan berat yang sedang dihadapinya di mahkamah?
Tuduhan mesti disokong bukti, bukan diulang melalui ceramah, rakaman kabur dan pengakuan tanpa sandaran. Jika benar berlaku salah laku, salurannya jelas lapor kepada pihak berkuasa dan buktikan di mahkamah bukan mengheret pandangan awam dengan cerita separuh masak dengan niat jahat.
Melaka tidak memerlukan politik berasaskan fitnah dan sensasi. Rakyat menuntut kepimpinan yang fokus bekerja, bukan skrip lama yang berulang menunggang isu, memutar fakta dan menjadikan persepsi sebagai senjata.
Ketua Menteri Melaka dengan sinis menyatakan ada 30 siri lagi….
