Pembentukan kerajaan negeri Perlis dengan Menteri Besar baharu daripada Bersatu telah membuka lembaran politik yang janggal. PAS, walaupun menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan memilih untuk menolak jawatan Exco sebagai tanda protes terhadap Bersatu. Tindakan ini bukan sahaja mencetuskan kekeliruan, malah mengundang persoalan besar dalam kalangan rakyat Perlis, apa sebenarnya peranan PAS dalam kerajaan negeri hari ini?
Menjadi sebahagian daripada kerajaan tetapi enggan memikul tanggungjawab pentadbiran bukanlah sikap yang selari dengan prinsip amanah dan khidmat kepada rakyat. Jika PAS hanya hadir sebagai “pelengkap angka” tanpa menyumbang secara langsung melalui portfolio Exco, ia memberi gambaran seolah-olah kuasa hanya ingin ditumpang, manakala tanggungjawab diketepikan. Lebih buruk, keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa jawatan dan peruntukan sekadar dijadikan imbuhan politik, bukan alat untuk berkhidmat.
Kemelut hubungan antara Bersatu dan PAS di Perlis jelas masih jauh daripada pemulihan. Ketegangan ini bukan lagi rahsia malah semakin terserlah di mata rakyat. Dalam konteks ini, pendirian PAS yang terus memendam kemarahan sambil berada dalam kerajaan hanya menambah kekusutan pentadbiran dan menjejaskan kestabilan politik negeri.
Lebih menyedihkan, konflik berpanjangan ini dilihat bertentangan dengan nilai dan retorik yang sering dilaungkan PAS di pentas ceramah serta mimbar masjid dan surau tentang ukhuwah, hikmah dan kepentingan mendahulukan maslahat rakyat. Realitinya di Perlis, amalan politik yang ditunjukkan tampak jauh menyimpang daripada prinsip yang diucapkan.
Isu hubungan dengan institusi istana turut menjadi perhatian. Sensitiviti ini bukan perkara kecil dalam tradisi politik Perlis dan PAS berdasarkan rekod dilihat semakin kehilangan kehalusan dalam mengurus hubungan tersebut. Bagi mereka yang lama mengikuti politik PAS, perkembangan ini malangnya bukan sesuatu yang mengejutkan.
Dalam keadaan ini, pilihan paling jujur dan berprinsip untuk PAS ialah menjadi pembangkang sepenuhnya di Perlis. Sebagai pembangkang, PAS boleh memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih berkesan, bersuara secara konsisten dan mempertahankan pendirian tanpa terikat dengan tanggungjawab pentadbiran yang mereka sendiri enggan pikul.
Rakyat Perlis berhak mendapat kerajaan yang berfungsi sepenuhnya bukan kerajaan ‘separuh masak’. Jika PAS tidak bersedia untuk memerintah, maka jalan paling terhormat ialah berundur dari barisan pentadbiran dan menjalankan peranan pembangkang dengan berani, telus dan bertanggungjawab.
Adakah wakil rakyat PAS sayang kehilangan peruntukan wakil rakyat kerajaan?
