Perlis: Anak Bekas MB Hidup Mewah, Tanah Milik Kerajaan Didakwa Diperdagangkan?

Melaka Digest
By -
0

Perlis kembali menjadi perhatian apabila satu pendedahan tular di TikTok oleh akaun yang menggunakan nama “Malaysia Forward” mencetuskan persoalan serius berkaitan gaya hidup mewah anak bekas Menteri Besar serta dakwaan pengurusan tanah milik kerajaan negeri. Pendedahan ini menuntut penjelasan terbuka, khususnya daripada PAS kerana ia turut mengaitkan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan tertinggi parti itu.


Antara isu yang dibangkitkan ialah pemilikan kenderaan mewah serta dakwaan wujud urus niaga melibatkan tanah berstatus TOL (Temporary Occupation License) yang dikatakan telah ditukar milik sebelum dijual pada harga yang dipersoalkan. Dakwaan ini, walaupun masih memerlukan pengesahan rasmi telah mencetuskan kebimbangan kerana menyentuh prinsip asas tadbir urus dan integriti pentadbiran tanah kerajaan. Juga kes tuntutan palsu yang jumlahnya melebihi RM1 juta.

Untuk rekod, Tanah TOL ialah tanah milik kerajaan negeri yang diberikan kebenaran guna secara sementara melalui lesen tahunan. Ia bukan hak milik kekal, tidak boleh dijual beli, dipindah milik atau diwarisi. Lesen ini tamat mengikut tempoh yang ditetapkan atau apabila pemegang lesen meninggal dunia. Justeru, sebarang dakwaan penukaran milik atau penjualan tanah TOL, jika benar berlaku, merupakan isu serius yang menuntut siasatan menyeluruh.

Persoalan yang turut berlegar ialah sama ada pola yang didakwa ini mempunyai persamaan dengan skandal tanah di Kuala Terengganu yang pernah menggemparkan negara dan masih tiada tanda-tanda tindakan oleh pihak berkuasa seperti SPRM.

Dalam kes yang dikenali sebagai “Skandal Tanah Khairunnisa”, tanah bernilai pasaran sekitar RM30 juta didakwa berpindah tangan kepada sebuah persatuan berkaitan isteri wakil rakyat PAS Terengganu dengan nilai sekitar hanya RM500,000. Walaupun konteks dan pihak berbeza, persamaan dakwaan ialah tanah bernilai tinggi berpindah dengan harga rendah mengundang tanda tanya besar kerana ia juga hampir sama dengan kes Khir Toyo dan Lim Guan Eng iaitu pemilikan tanah yang meragukan.



Hakikatnya, isu ini bukan soal menyerang individu atau parti semata-mata. Ia menyentuh amanah awam, pengurusan aset negeri dan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan. Dalam keadaan dakwaan berprofil tinggi seperti ini berlegar luas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menjalankan siasatan bebas dan menyeluruh bagi meneliti fakta, aliran pemilikan, status tanah, serta sebarang kemungkinan salah guna kuasa.
 

 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)