Perlantikan Pengerusi Baharu PN: Muhyiddin Tidak Dijemput Mesyuarat Majlis Tertinggi

Melaka Digest
By -
0

Keputusan untuk tidak menjemput Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin ke mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan pada 29 Januari ini menimbulkan persoalan serius mengenai hala tuju kepimpinan dan amalan konvensyen dalam gabungan tersebut.


Seorang pemimpin PN yang enggan namanya didedahkan memaklumkan bahawa Muhyiddin sepatutnya tetap dijemput menghadiri mesyuarat itu meskipun beliau telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu. Ini kerana Muhyiddin masih memegang jawatan Presiden BERSATU dan secara konvensyen politik, Presiden parti komponen utama lazimnya mengisi peranan sebagai Timbalan Pengerusi gabungan.

“Sebagai presiden parti, Muhyiddin secara konvensyen merupakan timbalan pengerusi PN dan sewajarnya hadir dalam mesyuarat tersebut,” kata sumber.

Namun, surat jemputan mesyuarat yang dikeluarkan oleh Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, menunjukkan sebaliknya. Antara wakil BERSATU yang dijemput hanyalah Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Datuk Ronald Kiandee tanpa sebarang penjelasan rasmi berhubung ketiadaan nama Muhyiddin.

Mesyuarat tersebut akan menghimpunkan kepimpinan tertinggi PN bagi tujuan melantik pengerusi baharu gabungan, susulan pengumuman pengunduran Muhyiddin pada 30 Disember lalu. Pengunduran itu dibuat selepas tercetusnya krisis politik di Perlis yang mencetuskan ketegangan dalam hubungan antara parti-parti komponen PN.

Muhyiddin sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menyerahkan jawatan pengerusi PN kepada PAS, namun BERSATU berpendirian bahawa jawatan tersebut sewajarnya dipegang oleh seorang presiden parti, selari dengan prinsip keseimbangan dan hierarki dalam gabungan.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dilaporkan menuntut jawatan pengerusi PN bagi pihak partinya, namun menolak untuk memegang jawatan tersebut atas faktor kesihatan.

Situasi ini membuka ruang kepada spekulasi mengenai calon pengganti dengan dua nama dari PAS sering disebut iaitu Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tindakan mengecualikan Muhyiddin daripada mesyuarat penting ini bukan sekadar isu protocol tetapi mencerminkan retakan kepercayaan dan kekaburan tatakelola dalam PN. Dalam sebuah gabungan politik, pengurusan peralihan kuasa yang tidak telus dan keputusan yang kelihatan bersifat selektif hanya akan menghakis keyakinan rakan sekutu serta memberi isyarat negatif kepada penyokong di peringkat akar umbi.

Jawapan kepada persoalan ini mungkin akan ditentukan oleh apa yang berlaku dalam mesyuarat 29 Januari nanti dan siapa yang benar-benar diberi tempat di meja rundingan dan yang pastinya Muhyiddin kekal tidak dicalonkan kembali sebagai Pengerusi PN.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)