PRU-15: BERSATU Menanggung Beban Kewangan Besar, PAS Lupa Diri

Melaka Digest
By -
0

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin Yassin pernah mendedahkan bagaimana BERSATU membantu PAS dari segi kewangan. Ianya telah membuka satu realiti penting yang selama ini cuba dikecilkan dalam Perikatan Nasional (PN) bahawa beban kewangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ditanggung hampir sepenuhnya oleh BERSATU termasuk sumbangan kewangan yang bukan sedikit jumlahnya kepada PAS.


Menurut Datuk Dr. Marzuki Mohamad, PAS tidak berdepan masalah besar dari sudut perbelanjaan pilihan raya pada PRU-15 kerana bertanding menggunakan logo PN. Semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo gabungan tersebut disediakan oleh PN, manakala keseluruhan kos dan perbelanjaan gabungan itu ditanggung oleh BERSATU.

Hakikat ini menjadi semakin jelas apabila keputusan PRU-15 menyaksikan PAS memenangi 43 kerusi Parlimen, pencapaian terbesar parti itu sepanjang lebih 70 tahun penglibatan dalam politik negara. Kejayaan luar biasa tersebut menurut Marzuki, tidak boleh dipisahkan daripada sokongan kewangan dan logistik yang disediakan oleh BERSATU di bawah payung PN.

Pendedahan ini menegaskan satu realiti yang tidak boleh dinafikan bahawa PRU-15 merupakan medan perbelanjaan politik yang besar. Dalam konteks PN, BERSATU memainkan peranan utama sebagai tulang belakang kewangan dan logistik gabungan.

Kejayaan besar PAS tidak berlaku dengan ‘percuma’, sebaliknya bergantung secara langsung kepada sokongan tersebut. Sebarang cubaan memesongkan fakta hanya akan menimbulkan persoalan terhadap kejujuran dan keadilan dalam perkongsian politik sesama rakan gabungan.

Namun situasi pasca PRU-15 memperlihatkan hubungan BERSATU–PAS semakin meruncing. Isu pertukaran Menteri Besar Perlis daripada PAS kepada wakil rakyat BERSATU dilihat oleh banyak pihak sebagai titik tolak yang dimanipulasi sehingga meretakkan hubungan kedua-dua parti.

Kesan daripada krisis ini menyaksikan Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, diikuti beberapa Pengerusi PN peringkat negeri kecuali di Melaka yang masih diketuai Mas Ermieyatie.

Dalam kalangan penyokong BERSATU, khususnya di Melaka, wujud rasa kecewa apabila PAS dilihat seolah-olah melupakan jasa dan pengorbanan rakan gabungan. PAS didakwa semakin angkuh dengan jumlah kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi, seakan-akan kejayaan tersebut dicapai tanpa bantuan sesiapa.

Terbaharu, Mas Ermieyatie tidak dijemput ke majlis perasmian pusat khidmat Muafakat Nasional di Durian Tunggal.

Keadaan ini menimbulkan persoalan besar tentang keikhlasan kerjasama dalam PN dan sama ada semangat perkongsian kuasa serta tanggungjawab bersama masih dihormati. Dalam politik gabungan, kemenangan tidak seharusnya melahirkan keangkuhan sebaliknya menuntut kejujuran, rasa tanggungjawab dan kesetiaan kepada rakan yang bersama-sama menanggung risiko sejak awal.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)